Seperti yang anda sedia maklum, konsol generasi seterusnya oleh Microsoft iaitu Xbox Series X akan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Berbanding konsol generasi seterusnya oleh Sony iaitu PlayStation 5, Xbox Series X kelihatan hanya akan tiba dengan konsol yang mempunyai cakera optik sahaja.

Namun hari ini melalui laporan The Verge, Microsoft mungkin turut akan melancarkan dua variasi konsol untuk Xbox Series iaitu Xbox Series S.

Berdasarkan laporan tersebut, Microsoft tahun ini mungkin akan melancarkan dua variasi konsol generasi seterusnya di mana variasi pertama, Xbox Series X iaitu seperti anda sedia maklum ia merupakan konsol yang sering diperlihatkan oleh mereka sebelum ini dengan rekaan berwarna hitam bersama cakera optik.

Manakala konsol kedua pula adalah konsol Xbox Series S. Namun buat masa ini, Microsoft masih belum mengumumkannya secara rasmi dan berdasarkan nama yang diperlihat, kami percaya ia menggunakan tanda nama yang sama seperti konsol Xbox One mereka sebelum ini dan Xbox Series S mungkin adalah konsol generasi seterusnya Xbox yang kurang berkuasa dan mungkin tidak akan tiba bersama cakera optik.

Seorang pengguna Twitter Zakk_exe juga berkongsi satu imej kotak alat kawalan tersebut di mana ia jelas kelihatan alat kawalan tersebut akan menyokong konsol Xbox Series X dan Xbox Series S.

Menurut Jeff Grubb, iaitu penulis dari VentureBeat, beliau juga menyatakan yang mana Microsoft mungkin akan mengumumkannya sekitar bulan ini.

Seperti biasa kami akan mengemaskini informasi lanjut setelah Microsoft berkongsi sebarang informasi pengumuman lanjut berkenaannya.

Sohor Kini