Sejak pengumuman konsol PlayStation 5 beberapa bulan lepas, salah satu perkara yang mendapat perhatian ramai selain daripada permainan-permainan semestinya adalah aksesori-aksesori yang diumumkan secara bersama seperti alat kawalan DualSense dan juga PlayStation Camera baharu.
Terkini, Sony akhirnya mengemaskini laman rasmi PlayStation 5 bagi aksesori tersebut yang mana mereka memperlihatkannya lebih lanjut dengan lebih terperinci termasuklah rupa bentuk sekeliling aksesori tersebut.
Aksesori pertama semestinya adalah DualSense, iaitu alat kawalan utama buat konsol PlayStation 5. Sebelum ini kami melaporkan informasi lanjut berkenaan alat kawalan tersebut dengan demo permainan Astrobot’s Playrooom di mana anda boleh membacanya di sini.
Selain itu, Sony juga memperlihatkan yang mana alat kawalan tersebut sememangnya mempunyai picu audio dan mikrofon di bawahnya. Menariknya, ia juga akan mempunyai butang “Create” baharu yang mana ia adalah fungsi yang dikembangkan dari butang “Share” di DualShock 4.
Sony juga mengesahkan fungsi-fungsi lain dari DualShock 4 juga masih lagi dikekalkan seperti fungsi kawalan pergerakan, pembesar suara dan bateri terbina. Namun dari segi picu pengesan, ia menggunakan sambungan USB-C.
Aksesori kedua merupakan dermaga pengesan alat kawalan DualSense yang mana ia boleh mengecas dua alat kawalan serentak. Dermaga ini juga akan menggunakan picu pengesan di bawah dan tidak menggunakan picu USB-C.
Aksesori kedua adalah fon kepala Pulse 3D yang mana ia mempunyai dua mikrofon pembatalan hingar, sambungan USB-C dan pelbagai sokongan kawalan media.
Seperti yang sering Sony berkongsikan sebelum ini, fon kepala ini juga menyokong 3D audio melalui konsol PlayStation 5 dan ia juga mempunyai penyesuai tanpa wayar yang boleh menyambungnya di konsol PlayStation 5 dan PlayStation 4. Menariknya, ia juga boleh digunakan bersama PC. Namun bagi anda yang lebih menyukai menggunanya dengan picu audio, ia juga boleh disambung dengan picu audio 3.5mm.
Alat kawalan Media Remote PlayStation 5 pula merupakan alat kawalan khas untuk pemain mengawal sebarang kandungan media seperti tetapan suara, menonton filem dan sebagainya. Alat kawalan ini juga boleh digunakan untuk sebarang pelayaran di konsol PlayStation 5, namun ia bukanlah digunakan untuk bermain permainan video.
Aksesori terakhir adalah PlayStation HD Camera baharu yang mana ia mempunyai dua lensa yang berupaya untuk merakam video dengan kualiti 1080P dan menariknya, ia juga mempunyai fungsi untuk membuang latar belakang jika pemain ingin menstrimkan sesi permainan pemain.
Kamera ini juga berfungsi bersama dengan butang “Create” yang terdapat di DualSense dan ia juga disertakan bersama pemegang secara bersama untuk memudahkan pemain meletakkannya di atas TV.
Untuk kesemua informasi berkenaan aksesori ini, anda boleh ke pautan ini.
PlayStation 5 akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun ini. Dari segi harga dan tarikh pelancaran, ia masih belum diumumkan.