Skip to main content

Seperti yang dijanjikan oleh Microsoft sebelum ini, fungsi untuk menstrim permainan di peranti telefon pintar iaitu Project xCloud akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September 2020 ini khas di peranti Android.

Namun buat masa ini, ia disahkan hanya buat rantau Amerika Syarikat, Eropah dan Korea Selatan. Namun kami percaya ia akan tiba secara global ataupun boleh diakses dengan menggunakan VPN.

Menurut Microsoft, fungsi tersebut akan tiba secara bersama buat mereka yang melanggan Xbox Game Pass Ultimate, iaitu langganan permainan khas oleh Microsoft berharga $14.99(~RM64) sebulan di mana ia menyertakan Xbox Game Pass, Xbox Game Pass di PC dan Xbox Live Gold buat konsol Xbox One.

Dengan lebih dari 100 permainan, melalui langganan tersebut, pemain berupaya untuk bermain sebarang permainan yang tersenarai di Xbox Game Pass dan bermain terus di peranti Android. Microsoft juga menyatakan kesemua pengalaman bermain permainan di peranti Android tersebut akan sama dengan pengalaman bermain di konsol Xbox One, seperti fungsi rakan, kejayaan dan juga fail penyimpanan permainan.

Bersempena dengan pengumuman ini, Microsoft juga mengumumkan beberapa aksesori alat kawalan yang akan menyokong fungsi penstriman ini bersama telefon pintar seperti alat kawalan Razer Kishi, PowerA MOGA dan sebagainya, yang mempunyai tanda nama khas “Designed For Xbox”. Informasi lanjut anda boleh ke pautan ini.

Semestinya dengan langganan ini, Microsoft sekali lagi bergerak ke hadapan dengan langganan Xbox Game Pass mereka bersama-sama dengan pelancaran konsol generasi seterusnya yang akan tiba sekitar penghujung tahun ini.

Leave a Reply