Destroy All Humans! merupakan permainan olahan semula yang asalnya ia dilancarkan 2005 lepas. Terkini, Black Forest Games dan THQ Nordic membawa kembali permainan ini dengan olahan semula dari segi visual dan bentuk permainan buat konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Setelah 15 tahun sejak pertama sekali saya sendiri bermain permainan ini, kini saya berpeluang untuk mengulasnya di platform PC di mana ia merupakan satu permainan yang tidaklah memerlukan spesifikasi PC yang tinggi untuk bermainnya. Jadi ini adalah ulasan kami untuk Destroy All Humans!.
Permainan Olahan Dengan Visual Sangat Menawan, Tetapi Masih Kekal Bentuk Permainan Kuno
Perkara pertama yang saya harus puji semestinya visual permainan ini yang diolah semula dengan baik sekali berbanding permainan asal. Apa yang membuatkan permainan ini mempunyai visual lebih menarik adalah beberapa rekaan model yang dihasilkan semula seperti pakaian Crypto, iaitu watak pemain kali ini adalah lebih terperinci dengan beberapa pergerakan animasi di kepalanya.
Selain itu, saya juga menyukai rekaan watak-watak manusia yang dihasilkan dengan rekaan kartun yang lebih sesuai dengan tema permainan ini berbanding rekaan asal yang kelihatan agak bosan dan tipikal. Perkara yang sama juga boleh dicakapkan buat segala rekaan-rekaan lain seperti senjata, persekitaran, musuh dan sebagainya, kesemuanya dihasilkan semula dengan begitu baik sekali.
Akan tetapi, sebaliknya pula buat bentuk permainannya yang mana atas sebab ia adalah permainan daripada tahun 2005, ia sedikit sebanyak mempunyai beberapa masalah dari segi misi-misi permainan yang berasa agak berulangan. Untuk membuat keadaan lagi teruk, permainan ini juga mempunyai banyak misi yang memerlukan pemain untuk mengikut musuh secara senyap, yang mana boleh dikatakan salah satu bentuk misi yang agak menjengkelkan.
Walaupun begitu, Black Forest Games masih lagi membaiki beberapa kawalan permainan yang mana saya boleh katakan ia lebih senang untuk dimainkan di dalam bentuk olahan semula ini termasuklah segala kemahiran dan senjata Crypto yang membuatkan permainan ini lebih menarik untuk dimainkan.
Saya juga menyukai beberapa aspek gajet yang tersedia seperti keupayaan untuk mengubah diri pemain menjadi manusia untuk memerangkap manusia lain dan juga menyamar menjadi datuk bandar ataupun ahli politik.
Dari segi aspek pertarungan, secara amnya permainan ini adalah permainan penembak pandang ketiga yang mana ia juga menyertakan beberapa jenis senjata yang pemain boleh gunakan. Selain itu, pemain juga boleh memandu kapal angkasa UFO pemain untuk memusnahkan bandar dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh seperti robot dan sebagainya.
Penceritaan Yang Kelakar Dengan Lawak Stereotaip “Amerika”
Apa yang buat permainan Destroy All Humans! sangat mengasyikkan dan mempunyai ramai peminat semestinya penceritaannya dengan dialog yang sangat kelakar dengan pelbagai elemen-elemen lawak stereotaip. Antara lawak-lawak yang tersedia juga masih lagi relevan dengan tahun 2020 ini walaupun permainan ini bertempatkan di tahun 1950an.
Akan tetapi, secara keseluruhan, penceritaan permainan ini tidaklah memaparkan sesuatu yang baru dari segi plot naratifnya di mana pemain akan bermain seekor makhluk asing bernama Crypto-137 dari Furon dan tugas pemain, semestinya adalah memusnahkan bumi dan menakluknya. Sepanjang pengembaraan pemain, pemain akan temui pelbagai musuh dan tentera manusia yang akan cuba tumpaskan pemain.
Destroy All Humans! semestinya adalah satu permainan olahan semula yang sangat mengasyikkan oleh Black Forest Games di mana ia mengekalkan elemen-elemen asal permainan dan pada masa yang sama menaik-tarafkan lagi keseluruhan pengalaman permainan.
Walaupun begitu, atas sebab permainan ini masih lagi permainan yang berusia 15 tahun, ia juga seakan serampang dua mata yang mana ia masih memberi kesan terhadap beberapa aspek bentuk permainannya yang agak berulangan.

Penafian: Kod ulasan Destroy All Humans! disediakan oleh THQ Nordic.