Sports Interactive iaitu pembangun untuk Football Manager telah berkongsi serba sedikit kemaskini mengenai studio mereka yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19, namun kebanyakan adalah positif.
Antaranya, sejak mereka mula bekerja dari rumah iaitu Mac lepas, mereka telah menambah 20 pekerja baharu, dan masih lagi mencari.
Selain itu, mereka juga telah terlibat dengan pelbagai aktiviti amal, termasuk juga menyertakan pengiklanan di dalam permainan secara percuma bagi organisasi kesihatan mental.
Bercakap mengenai pembangunan permainan baharu untuk siri Football Manager, mereka mengatakan ia akan dikeluarkan pada tahun ini, tetapi lebih lewat berbanding mereka jangkakan. Ini adalah kerana lebih sukar bekerja dari rumah dan juga kerana keadaan liga bola sepak sekarang masih tidak menentu.
Walaupun tidak berkongsi dengan mendalam, seperkara yang menarik adalah mereka mengatakan ia akan tiba untuk lebih banyak platform dan akan ditawarkan di lebih banyak kedai. Mungkin memberi penunjuk yang ia juga akan dikeluarkan untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X.
Football Manager 2020 dikeluarkan pada bulan November tahun lepas, jadi ia mungkin akan tiba lebih lewat iaitu Disember.