Arc System Works minggu ini mengumumkan dua watak seterusnya yang akan tiba buat permainan perlawanan akan datang iaitu Guilty Gear Strive. Bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga mengesahkan permainan ini turut akan tiba di konsol PlayStation 5 menjelang tahun hadapan.
Dua watak yang diumumkan hari ini adalah watak Leo Whitefang dan Nagoriyuki.
Leo Whitefang merupakan watak yang mula diperkenalkan di Guilty Gear Xrd -SIGN- di mana beliau merupakan salah seorang raja Allied Kingdom Of Illyria. Manakala Nagoriyuki merupakan watak baharu khas buat permainan ini yang mana asalnya beliau diperlihatkan ketika video acah pertama Guilty Gear Strive diumumkan sebelum ini.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Guilty Gear Strive ditunda sehingga awal tahun hadapan dan ia bakal tiba di PlayStation 4, PlayStation 5 dan juga di PC.