Setelah melancarkan akses beta di PC beberapa minggu lepas, Ubisoft hari ini akhirnya mengumumkan permainan Hyper Scape akan dilancarkan secara rasmi di semua platform bermula 11 Ogos 2020 ini di semua platform termasuklah di konsol PlayStation 4 dan Xbox One. Menariknya, seperti yang dijanjikan, permainan ini akan dilancarkan secara percuma.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Hyper Scape merupakan permainan pertempuran royale yang dibangunkan percuma buat konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga PC.

Menariknya, permainan ini mempunyai sokongan integrasi bersama platform penstriman Twitch di mana penonton dan pemain boleh berinteraksi melaluinya di mana penonton boleh mengundi beberapa acara yang akan berlangsung di dalam sesi permainan tersebut seperti fungsi peluru tanpa had ataupun kesan graviti rendah.

Tambahan itu, dengan pelancarannya secara rasmi pada Ogos ini, Ubisoft juga menyatakan kandungan musim pertama juga turut akan bermula pada tarikh yang sama di mana pemain boleh dapatkan pas musim yang menyertakan pelbagai ganjaran dengan 100 peringkat yang pemain boleh dapatkan seperti kostum dan sebagainya.

Selain itu, Ubisoft juga umum pelbagai kandungan baharu turut akan tiba seperti senjata, kuasa godam baharu dan juga mod Solo dan Squad Crown Rush.

Bagi anda yang berminat, anda boleh ke laman rasmi Hyper Scape untuk membaca segala informasi lanjut termasuklah ganjaran buat pemain yang bermain akses beta yang mana ia akan tamat pada 2 Ogos ini.

Sohor Kini