Setelah sekian lama permainan Red Dead Online tidak menerima kemaskini kandungan baharu, Rockstar Games hari ini akhirnya melancarkan kemaskini “The Naturalist” buat permainan tersebut di mana ia memfokuskan pemain untuk memburu haiwan legenda bersama pelbagai kandungan baharu.

Melalui kandungan ini, pemain akan bertemu dengan Harriet Davenport di mana beliau ingin pemburu untuk mencari pelbagai spesimen untuk meluaskan lagi pengetahuan beliau berkenaan haiwan. Selain dari memburu pelbagai jenis haiwan, pemain juga berupaya untuk memburu haiwan legenda seperti musung, serigala, rusa dan sebagainya.

Semestinya kandungan ini juga akan menyertakan pelbagai kemaskini permainan lain seperti fungsi mod foto yang dikembangkan lagi bersama dengan pelbagai jenis senjata yang pemain boleh dapatkan di katalog Wheeler, Rawson and Co.

Tidak dilupakan juga pas musim The Outlaw Pass juga menerima kandungan baharu yang ketiga di mana ia bukan sahaja menyertakan ganjaran emas buat pemain, malah pelbagai ganjaran-ganjaran yang pemain boleh dapatkan dengan melengkapkan cabaran dan sebagainya. The Outlaw Pass ini akan tersedia dan boleh dibeli bermula hari ini sehingga 19 Oktober ini.

Rockstar Games juga menjanjikan pelbagai ganjaran, acara atas-talian dan sebagainya turut akan diadakan sepanjang minggu ini yang mana anda boleh membacanya lebih lanjut di sini.

Bagi anda yang masih lagi belum mencuba mod atas-talian Red Dead Redemption 2, iaitu Red Dead Online, permainan tersebut sudah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC.

Sohor Kini