Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Mini – XCOM: Chimera Squad
PC

Ulasan Mini – XCOM: Chimera Squad

Diterbitkan pada July 27, 2020 oleh .

Pengumuman permainan baharu XCOM oleh 2K mengejutkan ramai pemain, namun itulah yang berlaku pada April lepas apabila mereka mengumumkan XCOM: Chimera Squad iaitu permainan sampingan buat siri permainan strategi XCOM oleh Firaxis Games.

Seperkara yang agak mencurigakan, ia juga diumumkan berdekatan dengan tarikh Gears Tactics dikeluarkan, iaitu jawapan Xbox Game Studios untuk XCOM, boleh dikatakan yang 2K cuba mengingatkan pemain bahawa XCOM adalah antara yang utama di dalam genre ini.

Nota sampinga, anda boleh baca ulasan kami untuk Gears Tactics di pautan ini.

Sebagai permainan sampingan, Chimera Squad tidak membawa pengalaman penuh yang kita biasa daripada siri XCOM, tetapi adakah ia masih berbaloi untuk dimainkan?

Skuad Terhad Dan Terbina

Saya telah meluangkan masa hampir 200 jam bermain XCOM dan XCOM 2, termasuk juga penambahan yang disertakan. Manakala XCOM: Chimera Squad memerlukan 20 hingga 30 jam sahaja untuk dihabiskan, ini adalah kerana pengalaman bermain Chimeras Squad lebih linear, berbanding XCOM yang memberi ruang kepada pemain untuk membina sendiri skuad serta kemajuan di dalam permainan.

Tentera-tentera yang disediakan adalah terbina, dengan setiapnya mempunyai penceritaan serta perwatakan tersendiri. Mereka juga tidak boleh terbunuh, jika berlaku permainan akan gagal dan anda perlu memulakan misi ataupun kembali ke simpanan terakhir. Bagi yang bermain XCOM dan menyukai konsep kematian terus, ini mungkin sedikit mengecewakan. Namun, saya lebih menyukainya kerana saya lebih mengambil kisah mengenai mereka.

Ia juga lebih menarik kerana, Chimera Squad berlaku selepas XCOM 2 di mana manusia telah berjaya mengalahkan puak jahat makhluk asing dan makhluk asing yang lain kini hidup bersama dengan manusia. Jadi di dalam skuad anda, selain manusia terdapat juga makhluk asing yang sebelum ini hanya menjadi lawan sahaja. Secara keseluruhan terdapat 11 watak yang boleh dipilih oleh pemain.

Pengalaman XCOM Yang Lebih Kasual

Chimera Squad banyak mengekalkan apa yang saya suka daripada XCOM, pada masa sama ia juga menyertakan perkara baharu yang serba sedikit menjadikan pengalaman bermain lebih kasual, dan seperti saya katakan sebelum ini lebih linear.

Elemen pengurusan-mikro masih disertakan seperti mana XCOM sebelum ini, tetapi ia lebih ringkas dan anda tidak akan meluangkan masa yang lama untuk melakukannya. Sebagai Chimera Squad pemain perlu memastikan bandar City 31 tidak jatuh menjadi anarki. City 31 adalah bandar yang dibina di mana manusia hidup bersama dengan makhluk asing. Pemain perlu melakukan pelbagai aktiviti untuk memastikan kawasan-kawasan bandar tersebut tidak merusuh.

Walaupun ia tidaklah seperti pengurusan di dalam permainan XCOM, tetapi ia mencukupi untuk memberi pemain pengalaman yang lebih kurang. Ia juga baik sebagai pengenalan kepada pemain yang tidak biasa dengan siri ini.

Fokus utama sudah semestinya adalah pertempuran, dan kebanyakan fungsi adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan pemain XCOM. Namun, mereka menyertakan konsep “breach” di mana pemain boleh memasuki sesuatu kawasan daripada beberapa tempat berbeza, dan pemain juga boleh melakukan serangan awal. Ia serba sedikit menjadikan permainan lebih senang, tetapi pada masa menjadikan pertempuran unik.

Terdapat juga pelbagai tetapan termasuk juga tahap kesukaran yang masih lagi memberi cabaran kepada pemain.

Permainan Sampingan Yang Baik Untuk Mempekenalkan XCOM

XCOM: Chimera Squad bukanlah pengganti untuk XCOM, ia permainan sampingan yang mengambil apa yang menarik mengenai XCOM, diringkaskan tetapi pada masa sama membawa fungsi baharu yang mungkin akan di bawah apabila permainan utama baharu XCOM tiba kelak.

Ia mungkin tidak menjadi permainan yang memuaskan bagi peminat tegar siri ini, tetapi ia adalah satu permainan yang baik untuk memperkenalkan pemain kepadanya, kemungkinan besar itulah yang cuba dicapai oleh 2K dan Firaxis Games dengan memperkenalkan permainan ini, kerana jika anda menyukai Chimera Squad, anda sudah semestinya akan berminat untuk mencuba XCOM 2 contohnya.

Jika anda meminati permainan strategi, sama ada pernah ataupun tidak bermain XCOM, saya syorkan anda untuk mencuba Chimera Squad, tambahan ia juga ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM59 sahaja di Steam.


TIPS & ULASAN