Sepertimana yang diumumkan sebelum ini, EA akhirnya berkongsi video acah pertama untuk FIFA 21, di mana ia lebih memfokuskan kepada atliti muka depan bagi permainan tersebut iaitu Kylian Mbappe bersama dengan beberapa lagi pemain muda iaitu Erling Haaland, Trent Alexander-Arnold dan Joao Felix.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah, akan tetapi tidak banyak bentuk permainan yang diperlihatkan.

Namun, di laman EA, mereka ada berkongsi beberapa penambahan yang akan disertakan di dalam permainan baharu ini. Antaranya adalah cara menyerang baharu iaitu Agile Dribbling, Positioning Personality dan Creative Runs yang menjanjikan pemain lebih kawalan.

Sesuatu yang menjadi permintaan ramai adalah peningkatan kualiti untuk mod karier, yang sudah beberapa tahun tidak di-endah oleh EA. Melalui FIFA 21 mereka mengatakan akan menyertakan Interactive Match Sim di mana pemain boleh masuk untuk bermain pada bila-bila masa semasa sedang melakukan simulasi. Peningkatan tahap pemain, terutama pemain muda juga dipertingkatkan. Kelab pemain dan juga kelab AI juga kini mempunyai pelbagai cara berbeza untuk mendapatkan pemain contohnya pinjam untuk beli. Namun, tidak diperkatakan jika ia akan memberikan liga yang realistik.

Manakala untuk mod yang merupakan penjana wang ringgit utama bagi permainan ini iaitu Ultimate Team akan menerima FUT Co-Op, di mana anda boleh bersama dengan rakan anda mengawal satu pasukan untuk Division Rivals ataupun Squad Battles. Cabaran koperasi juga akan disertakan.

Maklumat lanjut mengenai FIFA 21 akan dikongsi pada bulan Ogos kelak. FIFA 21 akan dikeluarkan pada 9 Oktober 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC dan akan menerima penaik-tarafan percuma untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X.

Sohor Kini