Psyonix hari ini mengumumkan yang permainan Rocket League akan menggunakan model perniagaan baharu apabila ia menjadi permainan percuma untuk dimainkan dan seperti sekarang akan terus mengekalkan pembelian di dalam permainan.
Mereka mengatakan versi percuma untuknya akan tiba sekitar suku ketiga tahun ini di PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC melalui Epic Games Store. Pemain yang membeli permainan tersebut di Steam boleh terus bermain di platform tersebut selagi mana ia sudah terpasang, tetapi apabila ia ditawarkan secara percuma, muat turun baharu di Steam tidak lagi disediakan.
Perkara ini tidak mengejutkan kerana Rocket League sudah berusia 5 tahun dan semakin sukar untuk mendapat pemain baharu. Tambahan mereka juga merupakan sebahagian daripada Epic Games, dengan kata lain ia sekadar mengikut model perniagaan seakan Fortnite.
Bagi pemain yang sudah bermain secara dalam talian sebelum versi percuma dikeluarkan, mereka akan memperoleh beberapa ganjaran;
- Kesemua DLC berdasarkan jenama Rocket League
- Pangkat “Est. 20XX” yang memaparkan tahun anda mula bermain Rocket League
- 200+ barangan Common ditingkatkan kualiti kepada “Legacy”
- Boost Golden Cosmos
- Roda Dieci-Oro
- Bendera Huntress
Dengan penggunaan akaun Epic Games, pemain juga boleh menggunakan satu akaun sahaja untuk bermain Rocket League di platform-platform yang berbeza. Jika sekarang pemain bermain di platform berbeza, pemain boleh memilih satu platform sahaja untuk disambungkan kepada akaun Epic Games dan akaun tersebut akan menjadi yang utama.
Rocket League sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.