Ulasan Mini – Horizon Chase Turbo Deluxe Edition

Jika anda pernah bermain permainan perlumbaan retro OutRun di konsol SEGA Genesis beberapa tahun lepas, anda mungkin berminat untuk bermain permainan Horizon Chase Turbo oleh Aquiris Game Studio di mana ia mempunyai konsep bentuk perlumbaan arked yang sama.

Setelah ia dilancarkan beberapa tahun lepas, terkini dengan kerjasama SCRYSoft, mereka akhirnya akan membawa permainan ini buat pasaran Malaysia secara fizikal dengan edisi Deluxe yang mana ia akan menyertakan segala DLC yang telah pun dilancarkan sebelum ini. Namun adakah permainan ini satu permainan perlumbaan yang menarik? Jadi ini adalah ulasan saya untuk Horizon Chase Turbo Deluxe Edition.

Bentuk Permainan Perlumbaan Arked Yang Penuh Nostalgia

Perkara pertama yang memberi perhatian buat saya sendiri terhadap permainan ini semestinya visual grafiknya yang mana ia mempunyai rekaan dan arah seni visual yang ringkas, yang mana ia mengingatkan kami seakan permainan klasik OutRun yang dilancarkan lebih dari 30 tahun lepas.

Menariknya, bentuk permainannya juga banyak diambil daripada permainan tersebut yang mana ia mempunyai bentuk perlumbaan yang ringkas di mana anda hanya perlu memecut dan brek untuk berlumba di litar yang tersedia.

Permainan ini menyertakan pelbagai litar-litar yang pemain boleh lumba dan setelah pemain maju di dalam permainan ini, pemain juga boleh mendapatkan pelbagai jenis kenderaan baharu yang terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan yang diinpirasikan daripada kenderaannya. Tambahan itu dengan edisi Deluxe ini, permainan ini juga menyertakan pelbagai kandungan-kandungan tambahan seperti DLC Summer Vibes.

Selain itu, sepanjang perlumbaan, pemain juga boleh mengumpul markah dengan mengutip koin-koin dan juga perlu memastikan minyak kenderaan pemain mencukupi dengan mengutip minyak yang terdapat di dalam litar permainan ini. Setelah pemain berjaya menamatkan perlumbaan, pemain akan diberi ganjaran pingat dan kemudian akan ke peringkat seterusnya, yang mana ia mempunyai konsep permainan berperingkat seperti kebanyakan permanan lain.

Secara amnya, bentuk permainan ini sememangnya sangat ringkas dan bagi anda yang ingin kembali bermain permainan perlumbaan arked seperti permainan retro beberapa tahunlepas, Horizon Chase Turbo ini semestinya akan memberi pengalaman yang baik untuk anda.

Akan tetapi, konsep permainan ini mungkin agak berulang buat anda yang ingin mencari bentuk permainan perlumbaan yang lebih mendalam, terutamanya jika dimainkan secara berterusan.

Seronok Sekejap, Berulang Selamanya

Apa yang saya boleh katakan, Horizon Chase Turbo semestinya satu permainan perlumbaan yang unik dan seronok untuk dimainkan secara bersahaja atas sebab bentuk arked permainan ini mengingatkan pengalaman retro yang sangat nostalgia buat mereka yang pernah bermain permainan seperti OutRun dan TopGear.

Ditambah pula dengan kandungan Deluxe yang disertakan secara bersama, permainan ini pasti akan memberi kepuasan buat anda yang ingin mengumpul koleksi kenderaan, berlumba di pelbagai jenis litar secara solo ataupun multi-pemain.

Akan tetapi, atas sebab ia tidaklah memberi sangat konsep baharu dan kebanyakan mod-mod perlumbaan yang tersedia tidaklah terlalu beza antara satu sama lain, ia berasa agak berulang dan semestinya tidak membawa sebarang kelainan dari segi bentuk perlumbaan, sekadar visual estetik retro sahaja.

Penafian: Kod ulasan Horizon Chase Turbo Deluxe Edition disediakan oleh SCRYSoft.

Sohor Kini