Burnout Paradise merupakan permainan perlumbaan seterusnya buat siri Burnout dan sejak ia dilancarkan pada 2008, saya ingat saya habiskan berpuluh jam untuk menerokai bandaraya Paradise City dan melanggar pelbagai jenis kenderaan.

Terkini, EA membawa kembali permainan ini sebagai permainan pernambah-baikkan di mana ia telah pun dilancarkan di platform lain beberapa tahun lepas dan tahun ini, ia akhirnya tiba di konsol Switch secara rasmi. Jadi ini adalah ulasan kami untuk Burnout Paradise Remastered di konsol Switch.

Bentuk Permainan Perlumbaan Dengan Kadar Bingkai Sesaat 60FPS Yang Lancar

Bagi anda yang tidak mengetahui siri Burnout, ia merupakan siri permainan perlumbaan yang mana bukan sahaja ia mempunyai bentuk perlumbaan dengan pelbagai kenderaan, malah bentuk ‘pertempuran’ yang dipanggil “Road Rage” di mana anda perlu mengalahkan pelumba lain dengan menyebabkan mereka kemalangan.

Selain itu, melalui permainan ini, ia menyertakan satu kawasan dunia terbuka yang meluas melalui bandaraya Paradise City di mana anda boleh mengembara secara terus dan memilih sebarang perlumbaan yang tersedia di persimpangan jalan.

Permainan ini tidaklah mempunyai penceritaan utama dengan naratif mendalam, namun ia masih lagi memberi satu objektif menarik untuk pemain terokai bandar tersebut di samping berlumba untuk dapatkan pelbagai lagi kenderaan dan juga tingkatkan peringkat lesen pemain.

Apa yang menariknya adalah permainan ini menyertakan kesemua DLC penambahan yang dilancarkan sebelum ini, sekaligus ia menyertakan pelbagai kenderaan yang menarik untuk pemain pilih termasuklah kenderaan seakan Delorean daripada siri Back To The Future.

Dari segi asas kenderaan, ia mempunyai tiga bentuk utama yang mana setiap satunya mempunyai bentuk pecut menggunakan turbo yang berbeza. Ia tidaklah mengubah keseluruhan bentuk perlumbaan utama permainan ini, namun ia masih lagi satu bentuk yang menarik buat mereka yang ingin kelainan ketika berlumba.

Namun apa yang membuatkan saya sangat menyukai permainan ini adalah kadar bingkai sesaatnya yang sentiasa berada di tahap 60FPS sepanjang permainan. Ini bukanlah satu perkara yang asing untuk permainan di konsol Switch, namun untuk satu permainan dunia terbuka perlumbaan sebegini, ia adalah satu prestasi yang sangat memuaskan.

Akan tetapi, ia juga terdapat beberapa pengorbanan di mana jika ingin dibandingkan dengan versi lain, visual permainan ini di konsol Switch agak malap. Ia tidaklah mempunyai visual yang terlalu teruk, namun untuk berlumba dengan pantas dengan pelbagai cabaran dunia terbuka permainan ini, ia berasa agak menjengkelkan terutamanya ketika waktu malam.

Dunia Perlumbaan Luas Yang Seronok Dimainkan Secara Mudah-Alih

Burnout Paradise Remastered sememangnya adalah satu permainan perlumbaan dengan konsep dunia terbuka yang sangat menyeronokkan di mana ia menyertakan pelbagai jenis perlumbaan dan juga kenderaan yang menarik. Dicampur pula versi pernambah-baikkan ini yang menyertakan pelbagai kandungan DLC yang telah pun dilancarkan sebelum, ia sememangnya adalah versi lengkap buat siri Burnout.

Walaupun begitu, semestinya versi konsol Switch buat permainan Burnout Paradise Remastered ini tidaklah setanding dengan versi-versi platform lain yang mana ia mempunyai visual yang lebih menawan. Namun, dengan apa yang disampaikan oleh EA untuk versi ini, ia masih lagi mengekalkan bentuk permainan yang lancar dan dengan sokongan kadar bingkai sesaat 60FPS, ia pasti menjadi salah satu permainan perlumbaan kesukaan saya sendiri untuk bermain secara mudah alih di konsol Switch.

Walaupun begitu, dari segi harga, versi Switch agak mahal di mana ia dijual dengan harga $39.99(~RM171) berbanding versi Steam dengan harga RM79 dan versi PlayStation 4 dengan hanya RM84 sahaja. Bagi anda yang berminat, saya lebih syorkan untuk anda membelinya di platform lain. Namun jika anda ingin mainkannya secara mudah-alih, semestinya versi Switch adalah pilihan terbaik.

Penafian: Kod ulasan Burnout Paradise Di Switch disediakan oleh Electronic Arts.

Sohor Kini