Pertama sekali ketika saya bermain SpongeBob SquarePants: Battle For Bikini Bottom pada 2003 lepas di konsol PlayStation 2, ia semestinya adalah satu permainan platformer kesukaan saya sendiri di mana ia bukan sahaja menyertakan pelbagai watak dari siri kartun kegemaran saya, malah bentuk permainannya yang menyertakan pelbagai lokasi dari siri tersebut dengan pelbagai watak yang boleh digunakan.

Terkini pada tahun 2020 ini, Purple Lamp Studios dan THQ Nordic membawa kembali permainan ini sebagai permainan pernambah-baikkan dengan menyertakan pernaik-tarafan visual dan juga kandungan bentuk multi-pemain baharu. Jadi ini adalah ulasan saya untuk SpongeBob SquarePants: Battle For Bikini Bottom Rehydrated.

Nostalgia Permainan Platformer Yang Berkesan, Namun Rekaan Yang Agak Kuno

Secara asasnya, SpongeBob SquarePants: Battle For Bikini Bottom Rehydrated adalah satu permainan platformer yang mana pemain perlu menyelesaikan beberapa tekaria, melompat dan menumpaskan musuh dan juga mengumpul sudip emas untuk ke lokasi seterusnya. Asas permainan ini adalah seakan permainan-permainan platformer klasik beberapa tahun lepas dan memandangkan permainan ini adalah satu permainan pernambah-baikkan, ia semestinya mempunyai gaya yang sama.

Menariknya juga, pemain boleh menukar watak antara watak SpongeBob, Patrick ataupun Sandy di mana setiap satunya mempunyai kemahiran berbeza seperti keupayaan untuk membaling barangan oleh Patrick, dan keupayaan untuk bergayut untuk Sandy.

Dari segi rekaan pentas permainan pula, permainan ini dibahagikan kepada beberapa lokasi yang pemain boleh terokai dari bandaraya Bikini Bottom, rumah SpongeBob sendiri sehinggalah pantai Goo Lagoon yang mana pasti peminat kartun ini akan menyukainya.

Satu perkara yang haru dipuji adalah visual permainan ini yang mana ia kelihatan sangat menawan dan terang yang mana mungkin akan dibenci untuk beberapa pemain. Namun, atas sebab permainan ini adalah permainan kanak-kanak, saya boleh katakan ia adalah satu visual yang bagus dan pernaik-tarafan yang berjaya oleh Purple Lamp Studios.

Untuk kandungan baharu pula, Purple Lamp Studios menyertakan satu bentuk multi-pemain yang pemain boleh bermain bersama rakan ataupun secara atas-talian yang mana pemain perlu bekerjasama untuk tumpaskan robot Squidward dan bertempur dengan musuh secara berperingkat.

Seperkara yang agak mengecewakan saya adalah terdapat saat di mana terdapat pepijat yang boleh membantutkan pengembaraan saya seperti saat di mana watak saya terlekat di antara bangunan ataupun saat di mana saya hanya terpijak lopak air yang membuatkan watak saya terus pengsan. Meskipun begitu ia tidaklah terlalu merosakkan keseluruhan permainan, tapi ia berasa agak menjengkelkan dari semasa ke semasa.

Oleh sebab itu, apa yang saya boleh katakan walaupun permainan ini mempunyai pernaik-tarafan visual dan beberapa rekaan bentuk permainan baharu, ia masih lagi mempunyai rekaan permainan yang agak kuno, terutamanya buat genre permainan klasik sebegini.

Satu Permainan Khas Untuk Peminat SpongeBob SquarePants

Apa yang saya boleh katakan adalah permainan ini sememangnya satu pengembaraan nostalgia buat saya sendiri untuk permainan platformer yang diberi nafas baharu untuk tahun 2020 ini. Akan tetapi, memandangkan ia masih mengekalkan beberapa elemen rekaan asal permainan tersebut, ia sedikit sebanyak mempunyai beberapa pepijat dan juga rekaan tekaria yang agak kuno.

Meskipun begitu, Purple Lamp Studios masih lagi berjaya membawa satu permainan platformer yang menarik dan sesuai untuk lapisan umur, dicampur pula bentuk multi-pemain yang boleh dimainkan secara atas-talian ataupun luar-talian, ia semestinya akan menarik minat mereka yang ingin kembali ke tahun 2003 bersama permainan ini.

Sohor Kini