Kemaskini: Ubisoft berkongsi satu video acah memperlihatkan watak Anton secara rasmi. Melaluinya, mereka juga mengacahkan permainan tersebut akan diperlihatkan ketika acara Ubisoft Forward pada 13 Julai ini.
Artikel asal: Tampaknya salah satu permainan yang mungkin akan diumumkan ketika acara Ubisoft Forward minggu hadapan tertiris lebih awal, iaitu Far Cry 6 di mana melalui PSN Store Hong Kong, ia disenaraikan akan dilancarkan pada 18 Februari 2021 ini.
Melalui senarai rasmi permainan tersebut, Far Cry 6 juga akan tiba di konsol PlayStation 5 dan buat mereka yang membeli versi PlayStation 4, mereka akan menerima pernaik-tarafan PlayStation 5 secara percuma.
Permainan tersebut kelihatan akan memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Dani Rojas, seorang pahlawan gerila dan ia kelihatan bertempatkan di bandaraya Yara. Berdasar kenyataannya, kami percaya permainan ini akan memfokuskan tema lokasi negara Mexico dan menariknya, Giancarlo Esposito iaitu pelakon terkenal dari Breaking Bad kelihatan akan menjadi salah satu watak di dalam permainan tersebut.
Buat masa ini tiada informasi lanjut berkenaannya namun kami percaya ia juga akan tiba di konsol Xbox One, Xbox Series X dan PC.