Nacon ataupun dikenali sebagai Big Ben Interactive mengumumkan beberapa pengumuman permainan baharu ketika acara khas Nacon Connect yang berlangsung malam tadi di mana antaranya merupakan permainan perlumbaan yang disukai ramai beberapa tahun iaitu siri Test Drive.

Sebelum kami bercakap berkenaan permainan video yang diumumkan, Nacon juga mengumumkan yang mana mereka kini bekerjasama bersama Microsoft untuk menghasilkan beberapa produk alat kawalan dan aksesori buat konsol Xbox One dan Xbox Series X, seperti mana yang mereka lakukan bersama Sony sebelum ini.

Pada masa yang sama, untuk meneruskan syarikat sebagai pengeluar aksesori permainan video, mereka juga menyatakan pada masa akan datang mereka turut akan menghasilkan beberapa aksesori untuk telefon pintar untuk digunakan dengan servis permainan secara penstriman.

Manakala berikut merupakan segala pengumuman permainan video yang dilakukan ketika acara tersebut.

Vampire: The Masquerade Swansong

Permainan pertama yang diumumkan adalah Vampire: The Masquerade Swansong di mana ia dibangunkan untuk konsol PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X, Xbox One, Switch dan juga PC.

Menurut pembangun iaitu Big Bad Wolf Studio, permainan ini akan dilancarkan sekitar tahun hadapan di mana ia akan memfokuskan 3 watak pontianak yang pemain boleh mainkan di mana setiap pilihan pemain akan memberi kesan terhadap penceritaan dan pengakhiran permainan ini.

Buat masa ini, tidak banyak informasi yang dikongsikan.

RiMS Racing

RiMS Racing merupakan permainan perlumbaan motosikal oleh Raceward Studio. Menurut Marco Ponte iaitu ketua pegawai eksekutif studio tersebut, permainan perlumbaan motosikal ini akan memfokuskan bentuk dan pengalaman permainan yang sangat mendalam di mana pemain bukan sahaja boleh mengubah-suai motosikal tersebut, malah merasai perasaan ketika memandunya.

Buat masa ini, ia hanya disahkan akan tiba sekitar suku ketiga tahun hadapan dan tarik pelancaran mahupun platform masih belum diumumkan.

Rogue Lords

Permainan setersunya yang diperlihatkan adalah Rogue Lords iaitu permainan oleh dua pembangun iaitu Cyanide Studio dan Leikir Studio.

Rogue Lords merupakan permainan RPG yang memfokuskan bentuk pertempuran secara turutan dan ia menyertakan pelabgai watak berdasarkan watak-watak penjahat seperti Dracula, Headless Horseman dan Bloody Mary.

Buat masa ini, ia disahkan akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC menjelang tahun hadapan.

Steelrising

Spiders Studio, iaitu pembangun yang terkenal dengan permainan seperti Greedfall, The Technomancer dan Bound By Flame, turut mengumumkan permainan seterusnya oleh mereka ketika acara ini iaitu Steelrising

Menurut pembangun, permainan ini akan memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Aeigis, iaitu robot dalam bentuk wanita yang mana merupakan pengawal peribadi untuk permaisuri Marie-Antoinette. Berdasarkan video acah di atas, permainan ini kelihatan akan memfokuskan lokasi Paris di Perancis yang mana King Louis XVI telah menjadi gila dan ingin tamatkan revolusi dengan menggunakan tentera robot.

Menurut pembangun, permainan ini juga akan menyertakan beberapa bentuk pengubah-suaian watak dan juga pelbagai kemahiran serangan yang pemain boleh gunakan.

Steelrising dibangunkan untuk konsol PlayStation 5, Xbox Series dan PC. Tarikh pelancaran masih belum diumumkan.

Werewolf: The Apocalypse Earthblood

Werewolf: The Apocalypse Earthblood pula merupakan permainan aksi oleh Cyanide Studio di mana ia memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Cahal, iaitu seorang manusia yang separuh serigala. Melaluinya, pemain berupaya untuk menukar menjadi serigala jadian dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh.

Menurut pembangun, permainan ini akan tiba di konsol PlayStation 5, PlayStation 4, XBox One, Xbox Series X dan PC pada 4 Februari 2021 ini.

Test Drive Unlimited: Solar Crown

Test Drive Unlimited semestinya salah satu siri permainan perlumbaan kesukaan ramai beberapa tahun lepas di mana ia mempinyai bentuk permainan yang sangat meluas dan menyertakan pelbagai kenderaan dari dunia nyata.

Terkini, KT Racing Studio dan Nacon mengumumkan yang mana mereka akan membawa kembali siri permainan tersebut sebagai Test Drive Unlimited: Solar Crown. Buat masa ini, platform mahupun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan.

Menurut Alain Jarniou, iaitu pengarah kreatif dari KT Racing Studio, permainan ini akan mempunyai bentuk permainan yang lebih moden dengan pelbagai kandungan permainan seperti pengubah-suaian kenderaan, watak avatar dan juga lokasi yang meluas seperti sebuah pulau yang berskala nyata.

Roguebook

roguebook

Permainan seterusnya pula adalah permainan oleh pembangun permainan Faeria iaitu Abrakam Studio di mana ketika acara Nacon Connect, mereka mengumumkan Roguebook iaitu permainan seterusnya oleh mereka akan diterbitkan oleh Nacon.

Menurut pembangun, permainan ini adalah berdasarkan permainan Faeria dan ia sebelum ini dilancarkan melalui kempen biayasama di Kickstarter dan kini tampaknya permainan tersebut sudah dibiayai sepenuhnya. Menariknya, Richard Garfield iaitu pereka untuk siri permainan kad Magic: The Gathering juga diumumkan yang mana beliau terlibat dengan pembangunan permainan Roguebook ini.

Buat masa ini, tarikh pelancarannya masih belum diumumkan. Namun bagi anda berminat untuk mengetahui informasi lanjut berkenaan permainan ini anda boleh ke laman Kickstarter permainan ini.

Akhir sekali, tiga permainan yang diperlihatkan merupakan permainan yang telah mereka umumkan sebelum ini WRC 9 di mana ia akan dilancarkan pada 3 September 2020 ini, Tennis WOrld TOur 2 yang akan tiba pada September ini dan juga Warhammer: Chaosbone yang disahkan akan tiba di konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X.


Jadi di atas merupakan segala pengumuman yang diumumkan ketika acara Nacon Connect dan bagi anda yang ingin melihat keseluruhan acara tersebut, anda boleh menontonnya di bawah.

Sohor Kini