Ketika acara Xbox bulan Mei lepas, Ubisoft telah memperlihatkan video bentuk permainan akan tetapi ia boleh dikatakan sebagai satu pengiklanan yang salah kerana ia sekadar memperlihatkan adegan di dalam permainan tersebut.

Ashraf Ismail, iaitu pengarah kreatif pada waktu itu untuk Assassin’s Creed Valhalla sebelum menarik diri tidak lama kemudian mengatakan yang mereka menjanjikan video bentuk permainan yang lebih terperinci akan dikongsikan kelak, kemungkinan besar semasa acara Ubisoft Forward pada 13 Julai ini.

Namun, pemain tampaknya tidak perlu menunggu kerana 30 minit video yang memperlihatkan permainan tersebut dimainkan telah tertiris, anda boleh mencari pautan di laman reddit, jika ia masih tidak dibuang.

Di dalam video tersebut, ia memperlihatkan pemain sedang menuju ke satu tempat untuk memulakan satu misi. Pengembaraan dan pertempuran masih membawa bentuk yang sama seperti permainan sebelum ini, Odyssey terutamanya, dengan penambahan seperti anda boleh mengambil senjata dari lawan untuk membalingnya ke lawan lain.

Misi yang diperlihatkan adalah menyerang satu kubu pihak Viking, di mana pemain akan menggunakan kapal panjang untuk menuju ke kubu tersebut, tetapi di dalam video tersebut tidak diperlihatkan sebarang pertempuran menggunakan kapal.

Apabila mendarat, pemain bersama dengan pasukan tentera lain akan bertempur dengan pihak lawan, ia nampak lebih kurang dengan mod Conquest di dalam Odyssey, kecuali pemain perlu menghancurkan pintu kubu tersebut.

Pada akhirnya, ia juga memperlihatkan pertempuran melawan ketua penjahat, di mana pemain boleh memilih untuk membunuh ataupun melepas ketua tersebut, mungkin akan menyertai anda selepas itu.

Video tersebut juga memperlihatkan peningkatan tahap dan juga barangan yang boleh digunakan oleh watak pemain.

Kami tidak pasti jika video ini akan diperlihatkan kelak, kerana yang tertiris ini tampaknya masih lagi peringkat awal pembangunan kerana ia mempunyai banyak pepijat serta pergerakan yang nampak pelik. Selain itu, kualiti video tertiris juga berkualiti rendah jadi agak sukar untuk menilai kualiti sebenar bagi permainan ini.

Assassin’s Creed Valhalla akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One PC dan Stadia bersama-sama di konsol generasi seterusnya iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series X menjelang penghujung tahun ini.

Sohor Kini