Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan X-Morph: Defense Complete Edition – Permainan Pertahanan Menara Yang Mengasyikkan

Ulasan X-Morph: Defense Complete Edition – Permainan Pertahanan Menara Yang Mengasyikkan

Diterbitkan pada July 6, 2020 oleh .

X-Morph: Defense Complete Edition merupakan permainan pertahanan menara yang dicampur dengan elemen permainan penembak kawalan berkembar. Ia dibangunkan oleh EXOR Studios dan menempatkan pemain untuk bermain sebagai makhluk asing yang ingin menakluk bumi.

Permainan ini sememangnya telah pun dilancarkan beberapa tahun lepas dan di pelbagai platform sebelum ini. Meskipun begitu, SCRYSoft iaitu penerbit permainan tempatan bekerjasasama bersama EXOR Studios untuk melancarkan versi fizikal pada 2 Julai 2020 lepas buat konsol PlayStation 4.

Bersempena dengan itu, kami juga ingin mengambil peluang ini untuk mengulas permainan ini dan ini adalah ulasan kami untuk X-Morph: Defense Complete Edition.

Penceritaan Yang Ringkas Sebagai Makhluk Asing Penceroboh

Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini mempunyai penceritaan yang agak unik atas sebab pemain akan bermain sebagai makhluk asing yang ingin menakluk bumi dan mencuri segala sumber bumi. Sekaligus, ia memberi perspektif penceritaan yang sangat menarik dan berlainan daripada kebanyakan permainan lain.

Dengan konsep ini juga, pemain turut akan melihat bagaimana ‘Manusia’ ataupun pihak lawan pemain, akan menggunakan pelbagai cara sekali pun untuk menumpaskan anda, yang mana pada beberapa misi permainan yang terdapat di dalam permainan ini, ia pasti membuat anda berfikir berkenaan sifat kemanusiaan, terutamanya dengan apa yang berlaku sekarang ini.

Walaupun begitu, dari segi naratif dan plot, permainan ini tidaklah mempunyai penceritaan yang mendalam mahupun watak-watak ataupun plot penceritaan yang berterusan. Bahkan sepanjang sesi permainan saya, saya langsung tidak menghiraukan watak-watak di dalam permainan dan hanya memerhati sebagai satu aspek naratif yang hanya ada untuk menggerakkan plot sahaja.

Meskipun begitu, saya menyukai aspek di mana permainan ini meletakkan pelbagai lokasi-lokasi nyata yang menarik dan pelbagai seperti di Indonesia, Kanada, Amerika dan sebagainya, yang mana ia memberi sedikit perasaan nyata dan peperangan ‘moden’ bersama makhluk asing.

Namun jika anda ingin bermain permainan ini untuk mencari penceritaan plot yang mendalam dengan perkembangan watak yang menarik, semestinya ini bukanlah permainan untuk anda.

Visual Dan Prestasi Permainan Yang Bagus

Dari segi aspek visual dan prestasi, EXOR Studios semestinya menghasilkan satu permainan yang sangat bagus sekali bukan sahaja visual yang disampaikan, malah sepanjang sesi permainan saya, prestasi permainan ini dimainkan dengan baik sekali tanpa sebarang kecacatan.

Dari segi rekaan visual, sekali lagi saya perlu akui di mana permainan ini bukanlah satu permainan berkelaskan AAA, namun dengan apa yang disampaikan bersama bentuk kamera pandangan atas, saya berasa permainan ini cukup dengan kesan visual yang disampaikan.

Tambahan itu, saya juga menyukai beberapa aspek paparan antara muka yang sangat berkesan ketika saya bermain, terutamanya menu untuk membangunkan menara yang mana ia berasa sangat intuitif ketika sesi permainan saya.

Berbalik kepada prestasi, ketiak dimainkan di konsol PlayStation 4 Pro, permainan ini dimainkan dengan baik sekali dengan resolusi 1080P dengan kadar bingkai sesaat 60FPS. Dengan kadar bingkai tersebut, ia juga memberi pengalaman permainan yang baik atas sebab segala aksi peperangan dipaparkan dengan jelas dan lancar sekali lagi, terutamanya ketika pemain sedang sibuk bertempur.

Kesan Audio Yang Baik

Tidak banyak yang saya boleh katakan dari segi aspek audio permainan ini di mana EXOR Studio menghasilkan satu permainan yang cukup baik untuk permainan ini.

Dari segi bunyi letupan setiap kali anda bertempur, sehinggalah bunyi tembakan senjata mahkluk asing, yang mana saya boleh katakan mempunyai kualiti yang cukup baik untuk permainan berkelaskan permainan kecil.

Saya juga menghargai suara latar yang disediakan seperti suara latar watak manusia, jeneral yang mempunyai dialog yang agak kelakar dicampurkan pula kesan audio suara latar makhluk asing yang membuatkan keseluruhan permainan ini seakan satu filem makhluk asing yang baik.

Walaupun begitu, apa yang saya harapkan adalah permainan ini mempunyai muzik yang baik ketika sesi permainan di mana ia berasa agak minima, terutamanya ketika sesi tetapan pertahanan. Namun ia masih lagi satu permainan yang cukup baik secara keseluruhannya.

Bentuk Permainan Yang Mengasyikkan

Jadi mari kita ke aspek paling penting sekali untuk permainan ini iaitu bentuk dan kawalannya yang mana saya boleh katakan mengapa permainan ini adalah sangat berkesan sekali.

Seperti yang saya nyatakan di atas, X-Morph: Defense mempunyai dua aspek bentuk permainan utama iaitu pertahanan menara, iaitu bentuk utamanya dan juga bentuk penembak kawalan berkembar. Kedua-dua bentuk ini adalah tidak asing di dalam genre permainan terkini, namun dengan campur kedua-dua bentuk permainan ini dalam satu permainan yang sama, ia membuah satu permainan yang sangat unik dan seronok untuk dimainkan.

Melalui permainan ini, pemain akan bermain sebagai makhluk asing penceroboh di mana pemain akan mencuri segala sumber di bumi dan pada masa yang sama bertempur dengan manusia dan menahan ‘menara’ ataupun pangkalan pemain dari serangan mereka.

Melaluinya, pemain akan mengawal satu kapal angkasa di mana ia boleh menembak ke arah musuh dengan beberapa pilihan senjata yang mana juga boleh dinaik-tarafkan setelah pemain maju di dalam permainan ini dengan pelbagai pilihan senjata dan juga kemahiran pasif yang pemain boleh nyah-kunci.

Pada masa yang sama, pemain juga boleh mendirikan bangunan-bangunan ataupun menara yang boleh menembak dan menahan daripada serangan musuh, seperti permainan pertahanan menara lain. Melalui pembinaan menara ini juga, pemain juga boleh menghalang laluan-laluan musuh sekaligus membina satu laluan yang jauh untuk musuh bergerak ke arah pangkalan utama pemain.

Konsep ini bukan sahaja memberi satu bentuk permainan yang pelbagai malah ia mempunyai aspek strategi yang sangat menarik untuk pemain bijak memilih laluan yang lebih jauh buat musuh untuk tiba di pangkalan utama pemain. Namun, pemain tidak boleh langsung menghalang terus laluan tersebut atas sebab ia masih lagi mengekalkan keseimbangan permainan.

Tambahan itu, seperti kapal angkasa pemain, pemain juga boleh menaik-taraf menara dan juga mempelajari pelbagai jenis menara baharu seperti menara menyembur api, tembakan laser dan juga menara khas yang digunakan untuk menyerang kapal terbang atau jet pejuang musuh.

Dari segi serangan musuh, pemain perlu menahan serangan musuh secara berperingkat di mana setiap peringkat, pemain boleh gunakan masa rehat tersebut untuk membina menara dan menetap laluan musuh. Permainan ini juga menyertakan pertempuran dengan ketua musuh yang pelbagai dan pasti akan mencabar pemain.

Dari segi peringkat permainan, satu misi boleh dikatakan mempunyai 30 minit jumlah waktu bermain di mana setiap peringkat adalah sekitar 5 minit untuk pemain mempertahankan daripada serangan musuh. Secara amnya, permainan ini sedikit sebanyak adalah seakan permainan pertahanan lain di mana pemain akan bertempur musuh secara berperingkat dan mengikut misi yang disediakan.

Ini juga adalah satu perkara yang mungkin tidak disukai oleh beberapa pemain atas sebab X-Morph: Defense lebih kepada satu permainan yang dimainkan secara bersahaja dan bukanlah satu permainan yang dimainkan berjam-jam di konsol rumah. Bahkan saya lebih rasa permainan ini lebih baik dimainkan di konsol mudah-alih seperti di Switch, atas sebab jika pemain bermain secara berterusan, ia akan berasa sedikit berulangan atas sebab kesemua misi yang tersedia, pemain hanya akan menahan daripada serangan musuh dengan menembak dan membina menara sahaja.

Kandungan Yang Pelbagai

Memandangkan permainan ini merupakan edisi lengkap buat permainan asalnya, ia sekaligus membuatkan permainan ini adalah satu permainan lengkap dengan pelbagai kandungan-kandungan DLC yang telah pun dilancarkan sebelum ini yang mana pasti akan mengisi masa lapang anda.

Semestinya penyertaan kandungan tersebut membuatkan kenapa permainan ini sangat menarik di mana 3 DLC utama yang dilancarkan sebelum ini iaitu European Assault, Survival Of The Fittest dan The Last Bastion, mengembangkan permainan ini secara menyeluruh.

Seperti saya nyatakan di atas, saya juga menyukai beberapa aspek lokasi yang disertakan di mana setiap kandungan yang disertakan mempunyai rekaan pentas permainan yang sangat seronok untuk dimainkan.

Tidak lupa juga bentuk multi-pemain secara skrin pembahagian sekaligus membuatkan permainan ini juga turut seronok untuk dimainkan bersama rakan ataupun ahli keluarga dengan memusnahkan lagi tentera-tentera manusia yang cuba untuk menghalang pemain.

Kesimpulan

Akhir kata, sebagai seorang peminat permainan bergenre pertahanan menara, X-Morph: Defense semestinya adalah satu permainan yang sangat seronok dan memuaskan dari segi bentuk permainan pertahanan menara dan campuran bentuk penembak berkembar. Ditambahkan pula kandungan yang pelbagai dengan misi-misi bertempatkan di serata dunia, ia pasti akan memberi berpuluh jam sesi permainan buat pemain.

Meskipun begitu, atas sebab saya perlu bermain secara berterusan untuk mengulas permainan ini, ia sekaligus memberi saya pengalaman yang agak berulangan atas sebab saya bermain lebih dari 4 hingga 5 misi dalam satu sesi yang sama. Ini kerana, permainan ini lebih sesuai untuk dimainkan beberapa sesi sahaja, sedikit demi sedikit dengan konsep hanya untuk mengisi masa lapang anda.

Tambahan itu, saya juga berasa ia lebih seronok dimainkan di konsol mudah alih atas sebab ia mempunyai rekaan permainan berperingkat yang mana pasti lebih seronok jika dimainkan secara mudah-alih dan bukan di hadapan TV.

Walaupun begitu, aduan itu hanyalah masalah kecil saya sendiri dan secara keseluruhan, X-Morph: Defense boleh dikatakan satu permainan pertahanan menara yang sangat baik pernah saya mainkan dan boleh dikatakan satu definisi permainan pertahan menara moden yang sangat mengasyikkan terutamanya buat peminat permainan bergenre ini.

Penafian: Permainan edisi bekas besi X-Morph: Defense Complete Edition disediakan oleh SCRYSoft.


TIPS & ULASAN