Jika diberi peluang untuk memiliki sut perisai Iron Man di dalam dunia nyata, semestinya ia adalah mimpi menjadi kenyataan buat kesemua peminat siri adiwira Marvel di mana sejak adiwira ini mula diperkenalkan berpuluh tahun lalu, ia menjadi pujaan ramai dengan senjata berperisai dengan keupayaan untuk terbang.

Adiwira tersebut juga menjadi semakin terkenal sejak filem Iron Man yang mula ditayangkan 2008 lepas sekaligus bermulanya Marvel Cinematic Universe (MCU) yang bertahan sehingga sekarang dan menjadi satu francais yang sangat terkenal buat industri perfileman.

Terkini, Camouflaj, Darkwind Media dan Sony Interactive Entertainment akhirnya melancarkan satu permainan realiti-maya berdasarkan adiwira tersebut di mana pemain bukan sahaja diberi peluang untuk “menjadi” Iron Man, malah mengembara di dalam dunia Marvel sebagai Tony Stark.

Sebelum saya mulakan ulasan saya, permainan ini adalah permainan realiti-maya yang memerlukan pemain untuk bermain dengan menggunakan set kepala realiti-maya PlayStation VR bersama dengan dua alat kawalan PlayStation Move. Semestinya juga, untuk bermain secara realiti-maya di konsol PlayStation 4, pemain juga memerlukan PlayStation Camera untuk menjadi alat pengesan buat konsol tersebut. Jadi sebelum anda membeli permainan ini, anda perlu dahulu mengetahui yang mana permainan ini hanya boleh dimainkan secara realiti-maya sahaja.

Jadi tanpa melengahkan masa, ini adalah ulasan saya untuk Marvel’s Iron Man VR.

Penceritaan Adiwira Dalam Bentuk Realiti Maya Yang Baik

Mempunyai beberan minima bahagian pertengahan penceritaan

Penceritaan Marvel’s Iron Man VR bermula saat di mana Tony Stark ingin berhenti daripada menghasilkan dan menjual senjata untuk berperang, di mana ia sedikit sebanyak mempunyai plot seakan filem awal Iron Man.

Pada permulaan permainan ini, Tony Stark mengadakan upacara khas yang mana beliau menghentikan satu kecerdasan buatan yang dihasilkan oleh beliau iaitu Gunsmith, di mana ia adalah teknologi Tony untuk menghasilkan senjata. Penceritaan permainan ini kemudian ditempatkan beberapa tahun kemudian di mana terdapat seorang penjahat baharu iaitu Ghost, yang berdendam dengan Tony.

Semestinya saya tidak akan berkongsi keseluruhan penceritaan permainan ini untuk tidak membeberkannya, namun sekitar 12 jam saya bermain permainan ini, saya boleh katakan ia adalah satu penceritaan adiwira yang sangat baik dengan plot yang ringkas yang sering kita tonton di panggung wayang di dalam dunia MCU.

Ini kerana, permainan ini bertempatkan di dalam dunia realiti-maya, sekaligus segala pandangan pemain akan diperlihatkan secara terus melalui ‘mata’ Tony Stark yang mana keseluruhan interaksi antara watak mahupun musuh dilihat melalui perspektif Tony. Terdapat juga beberapa watak dari dunia adiwira Marvel yang terdapat di dalam permainan ini seperti Nick Fury dan semestinya Pepper Potts.

Walaupun saya akui terdapat beberapa adegan yang agak janggal terutamanya bentuk monolog yang sering dilakukan sebelum dan selepas tamatnya adegan permainan, namun secara keseluruhannya, sebagai penceritaan adiwira saya masih lagi berpuas hati dengan apa yang disampaikan walaupun ia mempunyai plot yang agak ringkas.

Tambahan itu, saya juga menyukai beberapa elemen seram yang terdapat di dalam permainan ini di mana ia diterjemahkan dengan sangat baik sekali di dalam dunia realiti-maya yang mana pasti akan membuat anda berasa cemas dan gerun. Namun bagi anda yang tidak menyukai adegan yang mengejutkan, saya perlu memberi amaran kepada anda yang mana permainan ini mempunyai beberapa adegan yang pasti akan meluruhkan hati anda.

Grafik Yang Ringkas Dengan Terlalu Banyak Skrin Pemuatan

Tidak dapat dinafikan yang mana jika permainan realiti-maya di PlayStation VR, pembangun tidaklah berupaya untuk menghasilkan satu visual grafik yang berkualiti tinggi atas sebab beberapa had prestasi konsol PlayStation 4 dan pada masa yang sama untuk mengekalkan kadar bingkai sesaat yang tinggi supaya pemain tidak pening.

Namun begitu, saya agak kecewa dengan kualiti grafik yang disampaikan atas sebab terdapat ia agak ringkas terutamanya rekaan watak dan musuh yang berulangan. Dicampur pula rekaan persekitaran yang agak minima, sekaligus membuatkan dunia permainan ini berasa agak kosong.

Untuk memburukkan keadaan lagi, permainan ini juga mempunyai skrin pemuatan yang berulang kali dan sangat memakan masa. Ia tidaklah memakan masa lebih dari 5 minit, namun untuk mempunyai skrin pemuatan berkali dan setiap satunya hampir lebih dari seminit, ia sekaligus membuatkan pengalaman permainan ini agak terbantut.

Saya memahami skrin pemuatan ini agak penting atas sebab apabila pemain memasuki misi dan lokasi pertempuran dan penerokaan di dalam permainan ini, ia memberi lokasi yang agak luas untuk pemain berinteraksi. Namun, jika setiap kali perubahan persekitaran ataupun sebelum dan selepas setiap misi, skrin pemuatan tersebut asyik dinaikkan, ia membuatkan agak menjengkelkan.

Walaupun begitu, sekali lagi atas sebab permainan ini adalah permainan realiti-maya, saya memahami kenapa kualiti permainan ini direndahkan mengikut prestasi konsol.

Kesan Audio Yang Mengasyikkan

Nasihat saya untuk sebarang permainan realiti-maya, anda perlu bermainnya dengan memakai fon kepala di mana pengalaman permainan dunia realiti-maya akan diterjemahkan dengan sangat mendalam dan saya boleh sahkan, Marvel’s Iron Man VR melakukan satu kualiti yang sangat baik sekali.

Sepanjang sesi permainan saya, dari segi muzik, kesan bunyi dan juga keadaan sekeliling dunia permainan ini berasa sangat seronok dan begitu mengasyikkan. Terutamanya ketika bahagian ‘seram’ yang saya nyatakan di atas, di mana suasana seram tersebut sememangnya memberi saya pengalaman yang sangat menakutkan atas sebab kesan audio yang dihasilkan berasa sangat nyata, terutamanya dengan sistem 3D Audio di fon kepala PlayStation VR.

Tidak dilupakan pula dengan saat bunyi angin ketika saya berterbangan di udara di campur pula bunyi senjata “Repulsor” Iron Man yang berasa sangat dekat di lengan pemain, sekali lagi membuahkan permainan realiti-maya ini berasa sangat nyata dan begitu seronok sekali.

Dari segi lakonan suara latar watak pula, tidak banyak yang saya boleh katakan atas sebab kesemua pelakon melakonkan setiap watak dengan baik sekali, terutamanya Pepper Potts dan Tony Stark sendiri yang dilakonkan oleh Jennifer Hale dan Josh Keaton iaitu pelakon suara latar yang sangat terkenal.

Kawalan “Simulasi” Iron Man Yang Menakjubkan

Jadi mari kita bercakap berkenaan perkara paling penting sekali berkenaan permainan ini iaitu kawalan permainannya yang saya boleh katakan diperlakukan dengan sempurna sekali.

Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah, seperti yang saya katakan di atas, permainan ini memerlukan pemain untuk mengawal dengan menggunakan dua alat kawalan PlayStation Move. Sekaligus segala pergerakan pemain sama ada dari segi serangan dan juga terbang adalah berdasarkan alat kawalan tersebut.

Memandangkan alat kawalan tersebut menyokong kawalan secara pergerakan, secara asasnya pemain akan banyak bergerak menggunakan pergerakan lengan dan tangan pemain.

Seperti yang kita tonton di dalam filem Iron Man, untuk terbang pemain perlu meletakkan tangan pemain ke bawah dan menggunakan kuasa “Repulsor” yang terdapat di tapak tangan Iron Man untuk terbang. Arah tangan yang pemain halakan juga akan memberi kesan terhadap arah pemain akan terbang. Pemain kemudian perlu menekan butang picu di alat kawalan PlayStation Move tersebut untuk terbang.

Saya perlu akui di mana pada awal permainan saya menghadapi kesukaran untuk mempelajari bagaimana cara untuk terbang dengan bagus di dalam permainan ini. Namun setelah bermain beberapa misi, saya sendiri sudah biasa dengan gaya terbang dan merasa kawalannya berasa sangat seronok dan mudah untuk dilakukan.

Pemain juga boleh memusing badan dengan menekan butang yang petak ataupun segi tiga yang terdapat di alat kawalan tersebut. Tetapan untuk pemain pusing juga disertakan dengan pelbagai pilihan untuk pemain lakukan, sekaligus ia memudahkan mereka yang tidak biasa dan mudah pening ketika bermain permainan realiti-maya.

Manakala untuk menyerang pula, permainan ini hanya menyertakan satu butang serangan sahaja iaitu butang “Move” di alat kawalan, untuk pemain menembak “Repulsor” apabila pemain menghalakan tapak tangan ke arah sasaran. Apa yang menariknya, jika menghala tapak tangan ke bawah seakan menghalakan lengan, pemain juga boleh menggunakan senjata sampingan seperti misil dan bom. Selain itu, pemain juga boleh menumbuk tumbukan roket dengan menekan butang pangkah dan juga terapung dengan menekan butang bulat. Terdapat juga serangan “Uni Beam” yang pemain boleh lakukan setelah jumlah cas penuh dengan pemain tumpaskan musuh.

Konsep ini berasa sangat lancar dan mudah untuk dilakukan di samping memberi satu pengalaman simulasi Iron Man yang sangat seronok sekali. Ianya bukan sahaja membawa pengalaman permainan yang unik, malah disebabkan kawalan yang ringkas ini, keseluruhan permainan ini berasa sangat lancar dan mengasyikkan, terutamanya ketika bertempur di mana saya sendiri berasa saya seolah Iron Man betul yang sedang menyelamatkan keadaan.

Selain itu, pemain juga boleh mengubah-suai kelengkapan dan senjata buat sut perisai Iron Man seperti menukar senjata daripada misil kepada bom, dan juga menukar senjata penembak “Repulsor” dari serangan berganda kepada serangan yang boleh di cas.

Apa yang menarik saya sekali adalah pemain juga boleh menukar tetapan dan statistik sut tersebut seperti meningkatkan serangan penumbuk roket, ataupun meningkatkan kelajuan penerbangan. Namun dukacitanya tetapan tersebut menggunakan slot kelengkapan yang sedia ada, sekaligus pemain perlu memilih satu kelebihan sahaja.

Untuk mendapat kelengkapan baharu, pemain berupaya untuk ‘membelinya’ dengan menggunakan nilai penyelidikan di mana nilai tersebut boleh di dapatkan setelah pemain lengkapkan misi. Berdasarkan prestasi pemain ketika pemain lengkapkan misi, pemain juga akan menerima jumlah nilai mengikut gred pemain.

Bercakap berkenaan misi, permainan ini juga mempunyai satu hub utama iaitu garaj Tony Stark di mana pemain boleh lepak santai di ruangan tersebut, disamping mengubah-suai kelengkapan sut, pemain juga boleh mempelajari kemahiran dan kelemahan musuh, bersenam di gim dan juga memilih misi di lokasi peta yang tersedia.

Pemain juga boleh menukarkan rekaan sut Iron Man mengikut pilihan warna yang pemain inginkan. Namun penukaran ini tidaklah memberi kesan yang berbeza dan memandangkan pemain akan berada di dalam sut tersebut, pemain tidak akan nampak rekaan sut tersebut kecuali ketika di garaj ataupun hanya nampak rekaan tangan sut Iron Man sahaja ketika bertempur.

Dari segi musuh pula, kebanyakan musuh yang pemain akan tempuhi, ia hanyalah dron yang berulangan sahaja. Walaupun terdapat beberapa dron yang berbeza, namun kebanyakannya hanyalah melakukan serangan yang sama dan pemain perlu bijak mencari saat untuk membalas serangan ataupun mengelak. Namun, permainan ini juga menyertakan beberapa pertempuran dengan ketua musuh yang sangat seronok dan mempunyai bentuk peringkat yang sangat menarik.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan beberapa tekaria yang pemain perlu lakukan dan kebanyakannya mempunyai bentuk kawalan yang agak kreatif dan pada masa yang sama seronok untuk dimainkan terutamanya di dalam dunia realiti-maya ini sebagai Iron Man.

Kandungan Misi Yang Pelbagai Dan Sangat Mencabar

Apa yang membuatkan permainan ini menjadi lebih menarik adalah ia menyertakan pelbagai kandungan dan cabaran yang pemain boleh lakukan, terutamanya setelah pemain tamat keseluruhan penceritaan permainan ini.

Dengan pelbagai tetapan dan kelengkapan yang pemain boleh tetapkan seperti saya kongsikan di atas, permainan ini juga memberi gaya permainan yang pelbagai buat pemain dengan kombinasi jenis senjata yang unik. Saya juga menyukai beberapa cabaran seperti cabaran bertempur dan juga cabaran penerbangan yang mana ia bukan sahaja akan menguji pemain malah memberi peluang untuk pemain menjiwai sebagai adiwira Iron Man.

Menariknya, jika pemain tamat penceritaan utama permainan ini, pemain juga akan diberi satu misi bonus khas yang mana saya boleh katakan adalah satu misi paling sukar dan pada masa yang sama menyertakan watak jemputan yang pasti akan membuat peminat komik Marvel menyukainya.

Selain daripada itu, pemain juga boleh melakukan semula misi-misi penceritaan, lepak santai di gim rumah Tony Stark ataupun bermain mini permainan bola keranjang yang sangat mengasyikkan.

Walaupun saya akui kandungan tambahan yang disertakan tidaklah begitu banyak, namun dengan pengalaman permainan “simulasi” sut perisai Iron Man ini, saya sangat berpuas hati dengan apa yang pembangun sampaikan.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah permainan Marvel’s Iron Man VR semestinya adalah satu permainan simulasi sut perisai Iron Man yang sangat seronok sekali. Bukan sahaja permainan ini mempunyai penceritaan adiwira yang menarik, malah keseluruhan kawalan dan permainan untuk bertempur di dalam sut Iron Man adalah sangat menakjubkan, sehingga membuat saya sendiri berasa saya seolah Iron Man.

Dicampur pula dengan pelbagai misi cabaran yang saya boleh lakukan dengan pelbagai jenis senjata dan tetapan yang saya boleh ubah-suai buat sut Iron Man tersebut, permainan ini boleh dikatakan satu definisi permainan Iron Man yang saya ingin sejak filem Iron Man ditayangkan beberapa tahun lepas.

Akan tetapi, dari segi masalah skrin pemuatan yang agak kerap dan visual grafik persekitaran yang agak ringkas, permainan ini mungkin lebih seronok jika dimainkan di platform yang mempunyai prestasi yang lebih tinggi.

Walau bagaimana pun, dengan apa yang disampaikan oleh pembangun di dalam tempoh masa 12 jam saya bermain permainan ini, saya boleh katakan ini adalah satu permainan adiwira Iron Man yang sangat baik sekali.

Penafian: Kod ulasan Marvel’s Iron Man VR disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini