4 Permainan Menarik Untuk Bulan Julai 2020

Kita boleh dikatakan sudah memasuki separuh kedua untuk tahun ini, walaupun terdapat pelbagai permainan utama telah ditunda dan hanya akan dikeluarkan pada akhir tahun ini, termasuk juga pada tahun hadapan, namun masih terdapat pelbagai permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini.

Berikut adalah 4 permainan yang kami pilih sebagai permainan paling menarik bagi bulan ini.

Ghost of Tsushima

PlayStation Studios sekali lagi mempunyai satu lagi permainan yang dinantikan oleh ramai pemain. Pada bulan lepas, ia adalah The Last of us Part II, dan bulan ini permainan Sucker Punch Productions iaitu Ghost of Tsushima akhirnya akan tiba selepas beberapa kali tertunda. Menjanjikan permainan dunia terbuka berdasarkan latar Jepun, ia sudah semestinya menarik minat ramai pemain. Ia akan dikeluarkan pada 17 Julai, ulasan penuh kami untuk permainan ini akan tiba pada 14 Julai.

Crysis Remastered

Kemaskini: Crysis Remastered ditunda.

Walaupun anda tidak pernah bermain Cyrsis, kami pasti yang anda sekurang-kurangnya pernah mendengar jenaka “can it run Crysis?”. Ia adalah jenaka yang dihasilkan semasa permainan tersebut dikeluarkan pada tahun 2007 dengan pengoptimuman yang tidak baik. Crytek dengan kerjasama Saber Interactive telah mengumumkan versi Remastered untuk permainan tersebut. Ia menjanjikan kualiti grafik yang lebih baik dan akan menyokong resolusi sehingga 4K. Ia akan dikeluarkan pada 23 Julai untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Paper Mario: The Origami King

Bagi pemain yang mungkin sudah ‘cukup’ bermain Animal Crossing, sudah semestinya sedang mencari permainan seterusnya untuk dimainkan. Kami boleh katakan Paper Mario: The Origami King tiba pada waktu yang tepat. Permainan ke-6 untuk siri Paper Mario ini sekali lagi dibangunkan oleh Intelligent System dan akan tiba pada 17 Julai secara eksklusif untuk Nintendo Switch.

F1 2020

Musim baharu F1 akan bermula tidak lama lagi, bersama dengannya adalah permainan baharu untuknya iaitu F1 2020. Menjanjikan kualiti grafik, bentuk permainan yang lebih baik, tambahan ia juga kini menyertakan mod split-screen yang sudah semestinya penambahan yang dinanti-nantikan oleh peminat untuk siri permainan ini. Ia akan dikeluarkan pada 10 Julai untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.


Kami boleh katakan pada bulan ini, kita disediakan dengan permainan daripada pelbagai genre yang akan memberikan sesuatu untuk setiap pemain. Namun, sudah semestinya fokus utama adalah untuk Ghost of Tsushima yang mungkin merupakan permainan eksklusif terakhir untuk PS4 oleh PlayStation Studios.

Selain yang kami senaraikan di atas, terdapat juga permainan seperti Death Stranding yang akan dikeluarkan untuk PC dan juga Destroy All Humans! yang akan tiba akhir bulan ini. Jika anda ingin melihat senarai penuh anda boleh lihat-nya di senarai yang kami sertakan di bawah.

Sohor Kini