Skip to main content

Dengan lebih 200 juta unit jualan dan lebih 100 juta pemain aktif setiap bulan, Minecraft adalah antara permainan paling popular walaupun sudah berumur lebih 11 tahun. Walaupun ia tidak memperlihatkan sebarang tanda akan merudum, akan tetapi ia tidak menghalang Mojang Studios untuk mempelbagaikan lagi portfolio permainan ini dengan mengeluarkan pelbagai permainan sampingan.

Antara permainan sampingan yang dikeluarkan adalah Minecraft Dungeons iaitu permainan pengembaraan yang paling mudah untuk dijelaskan adalah seperti Diablo tetapi menggunakan rekaan dunia dan watak berdasarkan Minecraft. Dibangunkan oleh Mojang Studios dengan kerjasama Double Eleven. Ia sudah dikeluarkan sejak 26 Mei untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Cerita

Penceritaan yang disertakan di dalam Minecraft Dungeons boleh dikatakan ringkas. Ia adalah mengenai Illage yang bernama Archie, Dia sering dibuli dan dihalau daripada pelbagai tempat, tiba-tiba menjumpai sesuatu yang menjadikan dia berkuasa. Mabuk dengan kekuasaan dia menjadi jahat dan cuba mengawal dunia dan digelar sebagai Arch-Illager.

Tanggungjawab untuk menyelamatkan dunia daripada Arch-Illager jatuh kepada anda. Jadi anda perlu menyerang pelbagai tempat yang menjadi sumber kekuatan Arch-Illager sehinggalah bertempur dengan dia sendiri.

Penceritaan sepenuhnya disampaikan oleh seorang pencerita dan walaupun ada beberapa adegan tetapi ia dilakukan dengan ringkas. Tiada penceritaan sampingan, tiada pengenalan tambahan mengenai dunia. Dengan kata lain, penceritaan sangat mengecewakan.

Jika anda berharap sesuatu yang akan mengembangkan dunia Minecraft, permainan ini tidak berjaya melakukannya. Saya merasakan mod-mod yang dihasilkan untuk permainan Minecraft lebih berjaya melakukannya. Penceritaan juga tidak dapat dibandingkan dengan Dragon Quest Builders, yang bagi saya mempunyai penceritaan yang lebih mendalam.

Bentuk Permainan

Bagi anda yang biasa bermain permainan “dungeon crawler” seperti Diablo terutamanya, sudah boleh menganggap bagaimana bentuk permainan untuk Minecraft Dungeons. Terdapat lebih kurang 15 peringkat yang boleh diterokai oleh pemain. Setiap kawasan tersebut mempunyai kawasan yang luas, selain kawasan yang dituju, pemain juga memasuki kawasan berlainan yang mungkin akan membuka kawasan rahsia.

Setiap kawasan ini akan dipenuhi dengan pelbagai penjahat ataupun Mobs. Terdapat lebih kurang 20 mobs yang berbeza dan beberapa rekaan berbeza untuk jenis mobs yang sama. Pemain boleh menggunakan dua jenis senjata iaitu serangan dekat menggunakan pelbagai jenis senjata tajam ataupun serangan jauh menggunakan pelbagai jenis panah. Selain itu, pemain juga boleh menggunakan Artifact, setiap nya mempunyai kebolehan tersendiri seperti serangan, penyembuhan ataupun mencipta benteng dan pada satu masa pemain boleh membawa tiga jenis Artifact berlainan. Pemain juga boleh menggunakan pelbagai jenis perisai.

Oleh itu, kitaran permainan untuk Minecraft Dungeons adalah pemain akan melalui kawasan ini, bukan sahaja untuk menggerakkan penceritaan tetapi juga mendapatkan pelbagai senjata, perisai serta Artifact yang lebih berkuasa di mana ia akan diberikan secara rawak, dengan membunuh penjahat ataupun membuka peti. Selain itu, pemain juga akan memperoleh Emeralds, yang kemudiannya boleh digunakan untuk membeli kotak tikam yang mengandungi sama ada senjata ataupun Artifact di hub permainan.

Kadar kejatuhan barangan serta kualiti bergantung kepada tahap kesukaran yang pemain pilih, di mana setiap kawasan akan mempunyai 6 tahap kesukaran berbeza akan tetapi pemain boleh memilih 3 tahap sahaja bergantung pada tahap terkini pemain. Ia adalah tahap lebih senang untuk tahap tersebut, tahap yang dicadangkan ataupun tahap yang sedikit sukar untuk memberi lebih cabaran.

Bercakap mengenai tahap, pemain juga akan meningkatkan tahap dengan bertempur di mana setiap kali tahap meningkat, pemain akan memperoleh Enchantment Points yang boleh digunakan untuk meningkatkan kebolehan senjata, perisai dan juga Artifact dan setiap-nya bergantung kepada kualiti mempunyai kebolehan yang berbeza.

Ia adakah satu kitaran permainan yang sudah menjadi kebiasaan untuk permainan jenis ini. Namun, masalah utama mengenainya di dalam Minecraft Dungeons adalah setiap kawasan yang disertakan adalah bosan, penjahat juga tidak membawa kelainan yang besar untuk menjadikan pertempuran terasa menarik ataupun unik. Jika mengikut penceritaan, anda boleh menghabiskan permainan ini dalam masa 4 hingga 5 jam sahaja, namun selepas 2-3 jam lagi saya sudah bosan dengan apa yang disampaikan.

Walaupun selepas menghabiskan permainan, anda boleh bermain semula dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi, saya tidak mempunyai motivasi untuk melakukannya. Ini menjadi masalah kerana kandungan asas sangat terhad, dan kandungan tambahan akan disertakan melalui DLC berbayar, menjadikan ia lebih tidak menarik dan sukar untuk disyorkan.

Sistem kotak tikam juga sangat mengecewakan kerana ia membuang motivasi daripada pemain untuk terus bermain ataupun melalui sesuatu kawasan dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi kerana pada akhirnya pemain masih lagi perlu bergantung harap kepada Emerald untuk mendapatkan senjata, perisai ataupun Artifact yang lebih berkuasa. Saya lebih suka jika kesemua barangan hanya diperoleh semasa pertempuran, ataupun boleh dibeli secara terus berbanding sistem kotak tikam.

Perkara yang paling mengecewakan adalah ia tidak membawa apa-apa yang membuatkan Minecraft menarik seperti crafting ataupun membina hub tersendiri. Sebaliknya ia sekadar membawa jenis penjahat dan rekaan grafik sahaja daripada permainan tersebut. Akhirnya, ia bukan permainan yang cukup menarik untuk walaupun untuk pemain yang menyukai Minecraft dan ia juga bukan sesuatu pemain yang memenuhi kehendak peminat permainan genre ini.

Minecraft Dungeons mungkin lebih boleh diterima jika anda bermain bersama rakan, di mana anda boleh bermain secara dalam talian ataupun setempat sehingga 4 pemain, kerana ia akan meningkatkan pengalaman bermain berbanding bermain berseorangan.

Grafik

Walaupun ia sekadar membawa rekaan grafik daripada permainan Minecraft, tetapi rekaan dunia di dalam Minecraft Dungeons membawa keunikan yang tersendiri. Melihat pelbagai kawasan yang direka dengan baik, menjadikan sesi permainan yang bosan dapat ditahan. Kepelbagaian tema rekaan dunia juga membantu untuk membawa kelainan bagi setiap kawasan di dalam peta.

Saya tidak mempunyai pengalaman yang banyak bermain Minecraft, tetapi saya merasakan jika pemain yang bermain Minecraft dan melihat Minecraft Dungeon mereka mungkin akan bertanya shade ataupun mod apa yang digunakan kerana ia nampak sangat berkualiti.

Manakala rekaan kesan kuasa, ataupun serangan juga dilakukan dengan mencukupi, setiap serangan diperlihatkan dengan jelas walaupun pada masa di mana ada puluhan mods datang menyerang. Manakala untuk prestasi pula, ia adalah permainan yang ringan, PC yang mempunyai spesifikasi sederhana tidak akan mempunyai masalah untuk memaksimumkan segala tetapan, tanpa memberi sebarang masalah kepada kelancaran.

Audio

Saya juga mempunyai masa yang baik mendengar muzik latar yang disertakan di dalam permainan ini. Bahkan apabila saya melalui satu kawasan yang muzik tidak dimainkan, kawasan tersebut jauh lebih membosankan. Bahkan saya mengutamakan bunyi tetapan muzik berbanding tetapan audio yang lain.

Kesan bunyi juga dilakukan dengan baik, bersama dengan rekaan serangan ia menjadikan setiap serangan memberi impak tersendiri. Bunyi Mods juga sudah menjadi kebiasaan bagi pemain yang biasa bermain Minecraft, ia tidak menyeramkan tetapi pada masa cukup untuk memberi perasaan mendebarkan kepada pemain.

Manakala lakonan suara pula tidak banyak selain daripada pencerita yang memainkan peranan penting untuk berkongsi penceritaan kepada pemain dan ia dilakukan dengan baik.

Kesimpulan

Minecraft Dungeons adalah permainan dungeon crawler yang ringkas, mempunyai kitaran permainan yang mudah untuk difahami. Namun, ia mungkin terlalu ringkas untuk sesetengah pemain, terutama yang sudah biasa dengan genre ini. Kandungan asas adalah terhad menjadikan penawaran DLC berbayar sangat mengecewakan.

Kandungan tambahan selepas menghabiskan permainan asas, tidak terlalu menarik dan pemain mungkin sudah tidak mempunyai motivasi untuk meneruskan walaupun dengan prospek sesi permainan yang lebih sukar.

Tarikan utama untuk permainan ini sudah semestinya bermain bersama rakan di mana ia juga menyokong secara setempat sesuatu yang sudah semestinya bagus untuk permainan genre ini. Selain daripada itu, agar sukar untuk saya syorkan permainan ini, melainkan anda mempunyai langganan Xbox Games Pass di mana anda boleh mencubanya secara percuma.

Penafian: Kod ulasan Minecraft Dungeons untuk PS4 disediakan oleh Double Eleven. Ulasan ini adalah berdasarkan Minecraft Dungeons versi PC.

Leave a Reply