Skip to main content

Setelah menunda beberapa kali, Metronomik dan Sold Out hari ini akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran rasmi buat permainan No Straight Roads iaitu ia bakal tiba 25 Ogos 2020 ini di konsol dan PC.

No Straight Roads merupakan permainan aksi pengembaraan yang bertemakan muzik di mana ia memfokuskan kumpulan Rock, Bunk Bed Junction iaitu MayDay dan Zuke bertempur dengan empayar muzik elektronik, NSR.

Seperti yang kami kongsikan sebelum ini, No Straight Roads merupakan permainan sulung oleh Metronomik, iaitu studio pembangun permainan di bawah Wan Hazmer, bekas pereka permainan Final Fantasy XV dan Daim Dziauddin, bekas konsep artis untuk Street Fighter V.

Menurut Metronomik, permainan ini akan dilancarkan secara digital dan fizikal. Namun bagi versi fizikal, hanya versi PlayStation 4 dan Xbox One sahaja yang akan dilancarkan Ogos ini, manakala versi Switch ia akan dilancarkan kemudian termasuklah edisi terhad.

Menariknya, Metronomik hari ini juga mengumumkan sebilangan muzik latar mini kini boleh distrim secara percuma di beberapa platform penstriman muzik yang menyertakan pelbagai muzik daripada permainan No Straight Roads tersebut.

Pada masa yang sama, Metronomik juga umum demo khas boleh dimuat-turun melalui Epic Games Store di mana ia memberi peluang untuk pemain mencuba demo khas yang diperlihatkan ketika acara Tokyo Game Show 2018 lepas.

[download] Muat-Turun Epic Games Store: Demo No Straight Roads [/download]

Menurut Daim Dziauddin, beliau sangat berterima kasih kepada peminat kerana menanti permainan ini dan pada masa yang sama mereka ingin berkongsi demo buat peminat untuk berkongsi bagaimana permainan ini dimainkan dan beliau tidak sabar untuk pemain bermain permainan penuh menjelang Ogos kelak.

No Straight Roads akan tiba Ogos ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Epic Games Store. Sebelum ini, Metronomik dan Sold Out juga mengumumkan edisi terhad khas yang menyertakan pelbagai barangan seperti rekod vinil bersama buku karya khas khas untuk versi konsol. Bagi anda yang berminat, ia kini sudah pun boleh dipra-tempah.

Kami juga telah pun membuat pandang pertama buat permainan ini di mana informasi lanjut berkenaannya anda boleh baca di bawah.

Leave a Reply