Nintendo hari ini berkongsi satu video khas buat kemaskini permainan Animal Crossing: New Horizons bersempena dengan kemaskini bulan Julai.
Antara fungsi utama yang disertakan adalah keupayaan untuk berenang dan menyelam di dalam laut bersama-sama pelbagai set kelengkapan dan perabot baharu.
Melalui fungsi ini, pemain berupaya untuk berenang dan menyelam di mana pemain perlu memakai pakaian renang dahulu sebelum melakukannya. Semestinya ini bukanlah pertama kali fungsi ini tiba di siri permainan Animal Crossing, namun ini merupakan pertama kali pemain akan berupaya untuk berenang dan menyelam di kawasan perumahan pemain.
Menariknya, dengan menyelam di dasar laut, pemain juga berupaya untuk mengutip pelbagai jenis makhluk lauk seperti tapak sulaiman dan sebagainya. Selain itu, kemaskini ini juga akan sertakan pelbagai resipi barangan baharu seperti perabot bertemakan ikan duyung dan pemain akan bertemu dengan watak baharu seperti Pascal dan juga Gulliver juga akan kembali.
Kemaskini ini akan dilancarkan secara rasmi pada 3 Julai 2020 ini secara percuma di mana ia boleh dimuat-turun melalui kemaskini permainan. Nintendo juga menjanjikan kemaskini seterusnya akan diumumkan pada bulan Ogos kelak.
Animal Crossing: New Horizons telah pun dilancarkan di konsol Switch pada Mac lepas di mana kami sebelum ini juga telah pun mengulas permainan ini di mana anda boleh membacanya di bawah.