DC Universe Original Movies mempunyai banyak filem-filem DC yang terkenal seperti Justice League, The Flash, pelbagai filem Superman dan Batman dan ada juga filem memfokuskan watak seperti John Constantine. Terkini, DC dilihat hadir dengan sebuah lagi filem animasi Superman baharu – berbeza dengan sebelum ini yang sedia bersambung antara satu sama lain. Filem ini adalah filem asal-usul Superman baharu yang diolah sedikit.
Ia tidak berasaskan mana-mana komik, tetapi berdasarkan video acah ia dilihat seakan mengambil inspirasi dari Superman: American Alien. Watak Superman ini sudah melalui banyak perubahan asal-usul seperti Superman: Man of Steel, ke Superman: Birthright, atau Superman: Secret Origin. Hanya Superman: Man of Steel sahaja yang mirip dengan filem DCEU. Dalam filem animasi ini Clark Kent masih lagi dalam tempoh latihan di Daily Planet. Sambil berlatih sebagai seorang wartawan, beliau menghadapi musuh seperti Lobo dan Parasite.
Filem ini sudah mula dijual atau sedia untuk disewa di platform penstriman media premium terpilih seperti Amazon. Bagi yang berminat, gunakan sahaja VPN dan akaun Amerika Syarikat untuk menonton secara sah.