The Last of Us Part II – Kita Lebih Baik Daripada Ini

Polygon melalui ulasan mereka untuk The Last of Us Part II menggunakan judul “The Last of Us Part 2 review: We’re better than this” dan saya mengambilnya sebagai inspirasi untuk artikel ini, namun saya bukan ingin bercakap mengenai ulasan, tetapi cara kita berbincang mengenai perbezaan pendapat.

Mengapa saya mengambil artikel Polygon adalah kerana bagi saya ia adalah antara contoh yang baik untuk kita mengkritik dan berbincang mengenai sesuatu permainan. Di dalam penulisan tersebut, ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju tetapi akhirnya ia akan mencipta perbincangan yang lebih menarik mengenai sesuatu yang kita suka ataupun tidak.

Sejak dilancarkan, perbincangan mengenai The Last of Us Part II telah menjadi terlalu negatif dan sukar untuk mempunyai perbincangan yang produktif. Metacritics telah dipenuhi dengan ulasan yang memberikan skor 0/10 ataupun 1/10 iaitu sesuatu yang sangat tidak masuk akal walau bagaimanapun anda tidak menyukai permainan ini.

Ini menjadi lebih teruk apabila ulasan-ulasan yang dikeluarkan oleh media yang mendapat akses awal telah dihujani dengan kritikan mengatakan ia adalah ulasan yang berat sebelah, ataupun telah dibayar oleh Sony dan juga memberi ulasan yang positif semata-mata permainan diberikan percuma.

Ia bukan sekadar media, penghasil kandungan permainan video seperti Easy Allies dan Kinda Funny juga dihujani dengan kritikan yang sama di video-video mereka. Sehingga Easy Allies sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka tidak pernah mengambil bayaran untuk ulasan permainan video dan mereka juga tidak akan takut untuk memberi skor yang rendah untuk permainan yang berhak mendapatkannya.

Saya boleh melakukan penerangan panjang mengenai bertapa tidak masuk akal kenyataan-kenyataan yang diberikan, akan tetapi saya tidak ingin melakukannya. Sebaliknya saya ingin mengatakan, mengambil ulasan Polygon sebelum ini, kita lebih baik daripada ini.

Perbezaan Pendapat Adalah Perkara Biasa

Kami di Aksiz sendiri ada masa mempunyai perbezaan pendapat, dan tidak bermaksud mana-mana pendapat adalah salah. Ia adalah pendapat peribadi, dan perbezaan pendapat ini yang menghasilkan perbincangan yang menarik.

Jika anda telah menghabiskan The Last of Us Part II, dan tidak menyukainya, ia adalah sesuatu yang sudah saya jangkakan di dalam ulasan yang saya tulis untuk permainan ini. Namun, ia adalah tidak bagus untuk anda mengatakan mana-mana ulasan sebagai salah kerana tidak sama dengan pendapat anda.

Apabila kenyataan seperti berat sebelah, dibayar, menjadi fokus perbincangan, tiada lagi perbincangan yang boleh dilakukan selepas itu.

Perkara Berbeza Perlu Digalakkan, Bukan Dibenci

Adakah saya menyukai penceritaan di dalam The Last of Us Part II? Ya tetapi penceritaan di dalam permainan pertama bagi saya adalah lebih baik dan sesuatu yang saya akan lebih kenang. Jika diberi pilihan saya sentiasa akan lebih memilih penceritaan permainan pertama, tetapi pada masa sama saya juga kagum dengan pilihan Naughty Dog untuk membawa kelainan, untuk mengubah persepsi pemain mengenai apa yang boleh disampaikan di dalam satu permainan video.

Antara kritikan utama di dalam permainan ini adalah bagaimana watak utama dilakukan, dan mereka inginkan penceritaan yang biasa mengikuti permainan pertama. Bagi saya, Naughty Dog boleh sahaja melakukannya, tetapi mereka ingin membawa sesuatu yang berlainan dan di-luar jangkaan.

Ia mungkin tidak akan diterima oleh kesemua pemain, tetapi ia sepatutnya tidak menjadi masalah. Jika kita terlalu menghukum pembangun yang membawa sesuatu yang baharu, saya risau, penceritaan tidak berkembang dan sekadar mengulangi perkara yang sama daripada satu permainan ke permainan lain.

Perubahan sentiasa akan membawa potensi untuk ia gagal, tetapi kita perlu menghargai pilihan mereka untuk melakukan perubahan tersebut dan pada waktu sama memberi kritikan yang baik mengenainya.

Kritikan Membina Adalah Lebih Berguna

Seperti mana saya katakan mengenai kritikan yang ditulis oleh Polygon, ia adalah kritikan yang membina, kritikan yang apabila saya baca, saya boleh bersetuju ataupun tidak dan ia juga akan mencipta perbincangan dengan lebih mendalam.

Namun kritikan seperti “Agenda LGBT”, “Terlalu nak paksa agenda femenis”, “Naughty Dog cuba bunuh watak sendiri” bagi saya tidak membawa sebarang perbincangan, tambahan tidak langsung berasas. Jika anda sudah bermain, dan ingin suarakan kritikan cara yang terbaik adalah menjelaskan apa yang tidak digemari, agar ia boleh menghasilkan perbincangan baharu.

Sekadar mengatakan “cerita sampah” tidak menerangkan apa yang anda tidak suka. Kami di Aksiz sendiri sentiasa menggalakkan perbincangan yang baik, tetapi ia mestilah dengan niat yang baik dan bukan sekadar “troll”. Walaupun kami kebiasaan akan membiarkannya sahaja, tetapi adalah lebih baik jika perbincangan yang lebih membina.

Jika anda masih lagi tidak bermain-nya, dan melihat beberapa jam sesi permainan serta membaca ulasan lain, jika anda tidak menyukainya anda berhak memilih untuk tidak membelinya, saya sendiri merasakan anda tidak perlu membeli permainan yang anda tidak akan suka.

Namun pada masa sama, anda juga tidak harus terlalu mengkritik permainan tersebut kerana anda tidak merasainya secara sendiri dan tidak akan dapat melihat gambaran yang penuh. Cukuplah sekadar anda mengkritik dengan menjimatkan wang ringgit anda.


Di dalam kita ingin menjadikan komuniti industri permainan video yang lebih baik, kita seharusnya lebih bersedia untuk menerima perbezaan dengan lebih baik. Kita juga harus lebih menggalakkan perubahan berbanding sekadar menghukum apabila perubahan tersebut tidak disukai. Jika perlu melakukan kritikan, ia seharusnya kritikan yang membina dan elakkan bersifat terlalu negatif.

Walaupun penulisan ini lebih memfokuskan mengenai The Last of Us Part II tetapi saya jamin di masa hadapan ada banyak lagi permainan lain yang akan mencetus perkara yang sama. Saya berharap pada waktu itu, kita sudah menjadi lebih baik.

Sohor Kini