Justice League adalah filem pertama DCEU yang mengumpulkan ramai adiwira dalam satu filem. Ia asalnya diarahkan oleh Zsck Snyder, namun atas masalah keluarga – Joss Whedon Mengambil alih. Disebabkan itu, penggambaran semula dilakukan dan banyak idea asal Zack dipotong. Sambutan filem juga adalah mengecewakan, sehinggakan peminat menularkan tanda tagar #ReleaseSnyderCut.
Akhirnya, selepas bertahun penantian – Justice League Snyder’s Cut akan dihasilkan. Ia akan disiarkan secara eksklusif di HBO Max. Filem ini akan mempunyai bajet tambahan $20-$30 juta untuk penggambaran semula. Akan ada penggambaran baru dan Zack juga akan mengitar semula klip-klip yang sudah dirakam tetapi dipotong. Salah satu yang dipotong adalah Darkseid sebagai penjenayah utama, yang mana dalam versi Joss Whedon – musuh utama adalah Steppenwolf. Zack sudah pun mengacah rekaan Darkseid. Terkini, video acah pertama Justice League potongan Snyder diperlihatkan.
Video acah ini memperlihatkan Wonder Woman sedang terkejut melihat mural Darkseid. Di samping itu, suara latar video adalah suara Lex Luthor dari Batman v Superman – Dawn of Justice dan terus ke klip Darkseid yang dilihat seakan di Apokolips. Tidak banyak yang diperlihatkan, kerana besar kemungkinan video acah penuh akan diperlihatkan di acara DC Fandome pada bulan Ogos kelak. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.