6 Tips Untuk Membantu Anda Di Dalam The Last of Us Part II

Penantian untuk ramai pemain akhirnya berakhir apabila The Last of Us Part II akhirnya dilancarkan hari ini. Jika anda masih tidak pasti sama ada ingin membelinya ataupun tidak, anda boleh terlebih dahulu membaca ulasan kami untuknya melalui pautan ini. Dengan ringkasnya kami boleh katakan ia adalah permainan yang sangat kami syorkan.

Jika anda sudah membelinya, ataupun bakal, melalui artikel ini saya akan kongsikan beberapa tips yang sangat membantu semasa sesi permainan saya. Seperti mana yang saya perkatakan di dalam ulasan dan juga perkongsian oleh Naughty Dog sendiri, bentuk permainan di dalam permainan ini telah menerima pelbagai penambahan yang menjadikan ia lebih menarik dan juga sukar.

Oleh itu, tips yang saya sertakan di bawah adalah untuk membantu anda mengatasinya cabaran-cabaran yang tiba di dalam permainan ini.

Ambil Masa Untuk Meneroka

The Last of Us Part II bukanlah permainan dunia terbuka akan tetapi ia menyertakan rekaan dunia yang lebih luas berbanding permainan pertama, pemain akan diberikan banyak tempat yang boleh diteroka tetapi tidak menjadi kewajipan untuk memajukan penceritaan.

Namun, dengan masa permainan dalam lingkungan 23 jam sahaja, saya sangat mengesyorkan untuk anda mengambil lebih masa untuk memasuki bangunan-bangunan yang disertakan di dalam permainan ini atau mengambil masa untuk menuju ke arah bertentangan dengan tujuan anda. Ia bukan sahaja membantu anda untuk mendapat pelbagai barangan untuk digunakan tetapi juga menemui pelbagai adegan tambahan serta “easter egg” yang menarik.

Ada satu bahagian di dalam permainan, di mana anda akan diberikan peta, untuk memudahkan anda mengembara, tetapi di tempat lain ia tidak disertakan dan memerlukan anda sendiri untuk memeriksa jika satu tempat tersebut boleh serta berbaloi atau tidak untuk diterokai.

Simpan Supplements Sehingga Membuka Kesemua Kategori

Supplements iaitu mekanik permainan dari permainan pertama juga dikembalikan di dalam Part II, tetapi mereka mengembangkannya untuk memberikan pelbagai peningkatan tahap yang berbeza. Jika permainan pertama yang memberikan beberapa pilihan sahaja, Part II mempunyai 5 kategori berbeza yang setiap satunya mempunyai kebolehan yang berbeza.

Pada awal permainan, hanya satu kategori sahaja yang dibuka, manakala kategori-kategori lain memerlukan anda untuk mencari majalah. Majalah tersebut berada di tempat yang terbuka, dan agar sukar untuk anda terlepas pandang tetapi ia tidak hadir secara serentak.

Oleh kerana itu, anda seharusnya menyimpan Supplements dan hanya gunakan untuk sesuatu yang sangat diinginkan sehingga telah membuka kesemua kategori, agar anda mempunyai Supplements yang mencukupi untuk mendapat kebolehan yang lebih sesuai dengan cara anda bermain.

Walaupun anda menerokai dan menjumpai kesemua Supplements yang terdapat di dalam permainan ini, ia adalah mustahil untuk anda mendapatkan kesemua kebolehan bagi kelima-lima kategori tersebut.

Fokus Tingkat Tahap Senjata Yang “Berguna”

Selain Supplement, Parts juga disertakan di dalam The Last of Us Part II di mana ia digunakan untuk meningkatkan tahap senjata. Seperti Supplement ia juga mempunyai jumlah yang terhad.

Tidak seperti permainan pertama di mana ia mempunyai beberapa tahap, di dalam Part II setiap kelebihan mempunyai satu tahap sahaja. Walaupun ia mungkin lebih masuk akal untuk mendapatkan kesemua kelebihan bagi satu senjata, terutama senjata kegemaran akan tetapi lebih baik untuk memfokuskan kelebihan yang lebih berguna.

Contohnya, lebih baik anda memfokuskan untuk meningkatkan kuantiti peluru di semua jenis senjata berbanding meningkatkan kesemua kelebihan satu senjata kerana jumlah peluru yang terhad akan memaksa anda menggunakan kesemua senjata yang ada dan agak sukar untuk bergantung harap kepada satu jenis sahaja.

Maksimumkan Penggunaan Barangan Dan Senjata

Barangan untuk digunakan semasa crafting dan juga peluru adalah terhad. Jadi mungkin anda ingin menyimpannya untuk kegunaan kemudian, tetapi saya boleh katakan di dalam permainan ini, tahap kesukaran setiap pertempuran adalah lebih kurang sama, dengan kata lain, tiada konsep simpan untuk di tempat yang lebih sukar.

Bahkan, anda juga mungkin kerugian jika tidak memaksimumkan penggunaan kerana jumlah barangan serta peluru yang boleh disimpan adalah terhad. Jika anda tidak menggunakan peluru contohnya, anda tidak boleh mendapat peluru yang dijumpai kemudian kerana telah mencapai tahap maksimum simpanan. Tips ini lebih-lebih lagi berguna apabila berhadapan dengan zombi.

Jika anda ingin memfokuskan kepada bentuk serangan menyelinap tips ini kurang berguna tetapi kebanyakan tempat, permainan ini akan memaksa anda untuk menggunakan segala peralatan yang ada dan memaksa anda keluar daripada tempat menyorok.

Bunuh Anjing Dengan Segera

Satu penambahan yang diberikan kepada penjahat kali ini adalah pasukan WLF iaitu salah satu kumpulan yang akan menentang anda, di antara mereka akan membawa anjing. Ia mungkin lebih seekor. Walaupun anda boleh mengharungi sesuatu tempat tanpa membunuh walaupun seekor anjing, akan tetapi jika anda inginkan sesi permainan yang lebih tenang, membunuh anjing harus menjadi keutamaan.

Kelebihan anjing adalah mereka dapat menghidu pemain, walaupun ada masih menyorok. Dia dapat menjejak anda dengan tepat, dan memerlukan anda untuk sentiasa bergerak. Anda boleh gunakan bata ataupun botol untuk menarik perhatian anjing, dan memutuskan “pengesanan” anjing tetapi ia tidak selalunya pilihan yang disediakan.

Jadi membunuh anjing menggunakan sesuatu yang senyap seperti panah ataupun pistol dengan silencer. Walaupun ia akan menarik perhatian penjahat, akan tetapi ia lebih baik daripada anjing sentiasa menjejak anda.

Melarikan Diri Adalah Sentiasa Pilihan Yang Baik

Saya bermain dengan tahap kesukaran pertengahan, dan saya juga bukanlah pemain yang cukup bersabar untuk menyelinap dengan baik. Jadi pertempuran secara berdepan adalah sesuatu yang biasa, dan ada masa ia mungkin menjadi terlalu keterlaluan.

Namun, permainan ini menyertakan pergerakan serta tempat yang lebih terbuka yang sentiasa membolehkan anda untuk melarikan diri dan kembali menyorok. Kedudukan kamera yang dekat dengan watak mungkin sedikit mengganggu tetapi anda masih lagi boleh melihat kawasan ataupun tempat yang anda boleh tuju untuk kembali menyorok.

Ada masa, anda juga boleh mengelak daripada bertempur dengan melarikan diri ke tempat seterusnya. Ia sedikit sukar jika anda tidak tahu di mana arah yang sepatutnya dituju dan ada masa tempat yang dituju di halang oleh satu pintu yang akan mengambil sedikit masa untuk dibuka.


Tips yang saya sertakan di atas adalah sebahagian kecil sahaja, terdapat pelbagai lagi perkara yang boleh membantu anda di dalam permainan ini. Dengan bentuk permainan yang boleh saya katakan terbaik bagi Naughty Dog anda semestinya akan mempunyai masa yang baik bermain.

Bagi kesukaran pula, tidak kira sama ada anda merasakan permainan pertama sukar ataupun terlalu senang, The Last of Us Part II akan memberi lebih cabaran terutama dengan pelbagai penambahan serta AI yang lebih bijak disertakan di dalamnya.

The Last of Us Part II sudah dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 4.

Sohor Kini