Electronic Arts dan Maxis hari ini mengumumkan yagn mana mereka akan menyertakan kandungan khas bersama jenama alat solek terkenal iaitu M·A·C Cosmetics buat permainan The Sims 4.
Menurut EA, ini merupakan jenama alat solek pertama yang disertakan di dalam permainan tersebut di mana ia akan tiba secara percuma buat semua pemain The Sims 4.
Melaluinya, pemain berupaya untuk mengubah-suai watak pemain dengan menyertakan solekan khas berdasarkan jenama M·A·C Cosmetics tersebut terdiri daripada tona warna kulit dan tetapan solekan dengan pelbagai rekaan fesyen yang pemain inginkan.
Menurut Lyndsay Pearson iaitu pengurus permainan The Sims 4, sejak permainan The Sims dilancarkan, mereka semestinya ingin pemain untuk menyerlahkan diri mereka melalui permainan video dan juga secara nyata. Dengan kolaborasi bersama M·A·C Cosmetics, mereka percaya ia akan meningkatkan lagi kreativiti pemain disamping memberi kebebasan buat pemain untuk menghasilkan watak Sims yang unik.
Bagi anda yang berminat untuk dapatkan kandungan ini, ia kini tiba secara percuma buat permainan tersebut di semua platform di mana anda boleh muat-turunnya secara percuma melalui kemaskini permainan.
The Sims 4 telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC dengan pelbagai kandungan.