Square-Enix hari ini mengumumkan permainan baharu berdasarkan siri Kingdom Hearts iaitu Kingdom Hearts: Melody Of Memory. Menurut mereka, permainan ini akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga Switch menjelang tahun ini.
Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, permainan ini kelihatan mempunyai bentuk pengembaraan yang mana pemain akan bermain memori-memori berdasarkan permainan Kingdom Hearts sebelum ini disamping bertempur dengan musuh daripada siri sebelum.
Dari segi bentuk permainan, ia kelihatan memfokuskan pemain untuk menekan butang tepat dengan rentak muzik, sekaligus menjadikan ia seakan satu bentuk pertempuran dengan muzik. Kelihatan permainan ini juga akan meletakkan pemain untuk menekan butang mengikut rentak ketika adegan permainan.
Selain itu, video acah di atas juga memperlihatkan watak Kairi daripada Kingdom Hearts 3, yang mana kami percaya ia mungkin akan menyertakan beberapa penceritaan tambahan buat permainan tersebut.
Buat masa ini, informasi lanjut masih belum diumumkan. Kami akan mengemaskini pengumuman rasmi oleh Square-Enix kelak.