EA hari ini akhirnya mengumumkan secara rasmi Star Wars: Squadrons iaitu permainan pertempuran jet pejuang yang akan dikeluarkan pada 2 Oktober 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC dengan sokongan rentas platform. Ia juga menyertakan mod realiti maya untuk PSVR dan juga PC.
Ia dibangunkan oleh Motive Studios yang sebelum ini membangunkan kempen solo untuk Star Wars: Battlefront II dan permainan ini juga akan menyertakan mod permainan solo di mana penceritaan memfokuskan kesan selepas Battle of Endor di mana pemain akan menjadi juruterbang untuk Republic dan juga Galactic Empire.
Bagi mod multi-pemain pula, ia adalah 5 lawan 5 dan anda perlu memilih antara dua pihak. Bergantung kepada pilihan tersebut, anda boleh menjadi juruterbang untuk A-Wing ataupun TIE-bomber. Anda juga boleh melakukan pelbagai perubahan kepada kapal terbang anda untuk memastikan ia bersesuaian dengan cara permainan.
Maklumat lanjut mengenai Star Wars: Squadrom akan dikongsi ketika acara EA Play pada 19 Jun ini. Sebelum itu, anda boleh tonton video pengumuman di bawah.