Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Command & Conquer: Remastered Collection – Permainan Pernambah-Baikkan Yang Kekal Asli Oleh EA
PC

Ulasan Command & Conquer: Remastered Collection – Permainan Pernambah-Baikkan Yang Kekal Asli Oleh EA

Diterbitkan pada June 10, 2020 oleh .

Siri Command & Conquer semestinya salah satu permainan strategi yang sangat memainkan peranan penting ketika saya masih muda. Siri permainan ini bukan sahaja menggamit pelbagai memori saya sendiri malah setiap saat penceritaan dan bentuk permainannya banyak mainkan peranan penting di dalam genre permainan tersebut sehingga kini.

Terkini, EA (Electronic Arts) dengan kerjasama Petroglyph Games dan syarikat pembangun permainan tempatan, iaitu Lemon Sky Studios membawa semula permainan Command & Conquer sebagai permainan pernambah-baikkan dengan membawa dua permainan utama yang dilancarkan lebih dari 20 tahun dahulu iaitu Tiberian Dawn dan Red Alert di dalam satu koleksi.

Dengan menyertakan dua permainan di dalam satu koleksi, EA bukan sahaja menyertakan kesemua kandungan permainan sebelum ini, malah mereka juga membawa pelbagai kandungan pembaharuan secara bersama dan ini adalah ulasan saya untuk Command & Conquer: Remastered Collection.

Perkara pertama yang saya ingin tekankan adalah ulasan ini bukanlah ulasan keseluruhan permainan Command & Conquer Tiberian Dawn dan Red Alert, terutamanya aspek penceritaannya. Ini kerana permainan ini telah pun dilancarkan pada 25 tahun lepas dan apa saya ingin fokuskan adalah bentuk pernambah-baikkan sahaja.

Kawalan Permainan Yang Asli, Namun Kekal Tidak Seimbang

Permainan pertama Command & Conquer dilancarkan pada 1995 lepas di mana ia boleh dikatakan satu permainan strategi masa nyata yang menjadi perhatian ramai atas bentuk permainannya yang memfokuskan pemain untuk mengawal unit-unit askar dengan pelbagai jenis kenderaan dan membina pangkalan.

Untuk bermain semula permainan yang berumur 25 tahun ini di tahun 2020 ini, semestinya ia akan berasa agak janggal atas sebab mekanik permainan pada tahun tersebut adalah sangat ringkas dan beberapa masalah keseimbangan permainan yang agak pelik.

Walaupun begitu, EA masih lagi memberi nyawa buat siri ini dengan baik dengan pelancaran Command & Conquer: Remastered Collection ini dengan kawalan yang sama dengan permainan asal, sekaligus ia berasa lebih ringkas untuk dimainkan.

Segala aspek untuk mengumpulkan pasukan askar di dalam pasukan bernombor dengan gabungan butang Ctrl+1 dan nombor berikutnya juga disertakan seperti permainan asal. Selain itu, fungsi klik berganda untuk menghasilkan pangkalan, menghasilkan unit dan kesemuanya diterjemahkan dengan baik sekali.

Selain itu, melalui paparan antara muka penghasilan unit yang berada di kanan skrin permainan, ianya kini juga disusun dengan lebih rapi dengan pembahagian mengikut unit. Sekaligus bentuk ini memudahkan pemain untuk menghasilkan bangunan, unit askar, kereta kebal dan sebagainya.

Saya juga harus memuji tindakan EA untuk membuka kod sumber permainan ini yang mana pemain juga berupaya untuk meletak pelbagai mod. Dengan fungsi ini, ianya pasti akan terus menerima sokongan buat peminat pada masa akan datang, terutamanya versi Steam yang menyokong Steam Workshop.

Walaupun begitu, dari segi aspek kecerdasan buatan untuk permainan ini, ia masih lagi berasa ketinggalan. Ini kerana, aspek tersebut tidaklah dinaik-tarafkan dengan begitu baik dan memandangkan permainan berusia lebih dari 20 tahun, ia berasa sedikit sebanyak agak kuno.

Perkara yang sama juga boleh dicakapkan berkenaan keseimbangan permainan di mana jika anda menghasilkan unit askar yang banyak, terang sekali anda akan mudah sahaja melengkapkan misi-misi yang ada. Ini kerana dengan sistem keseimbangan asal permainan ini, ia memfokuskan pembinaan jumlah askar berbanding “strategi” untuk membalas serangan seperti permainan strategi moden.

Akan tetapi, ini tidak bermakna ia adalah satu permainan yang teruk, tidak sama sekali. Keseluruhan bentuk permainannya masih lagi seronok dimainkan dan bagi anda yang ingin menggamit kembali memori anda buat siri Command & Conquer, semestinya saya sendiri amat mengesyorkan permainan ini.

Namun jika anda mencari satu permainan strategi masa nyata yang bagus dengan bentuk permainan mendalam dengan mekanik taktikal yang menarik, semestinya Command & Conquer Remastered Collection tidak tersenarai di dalamnya.

Pernambah-Baikkan Visual Dan Audio Yang Bagus

Semestinya perkara utama berkenaan permainan ini adalah peningkatan visual yang dilakukan oleh Lemon Sky Studios di mana setiap unit, watak, kenderaan, bangunan dan sebagainya dihasilkan semula dengan rekaan aset model baharu. Persekitaran juga dihasilkan semula dengan visual baharu yang saya boleh katakan adalah satu pernaik-tarafan yang sangat baik sekali.

Tidak dilupakan juga segala animasi dan rekaan paparan antara muka permainan dihasilkan semula dan sepanjang sesi permainan saya, ia menjadi seolah satu pengalaman baharu buat saya untuk melihat semula segala visual yang dihasilkan semula ini.

Walaupun begitu, apa yang mengejutkan saya adalah fungsi untuk menukarkan kepada visual klasik dengan hanya menekan butang “Spacebar” di papan kekunci. Fungsi ini berlaku secara terus tanpa sebarang pemuatan ketika di dalam sesi permainan di mana ia sekali lagi memberi pengalaman nostalgia buat saya. Bentuk ini juga memudahkan pemain yang ingin bermain permainan ini dengan visual asal pada 1995 lepas.

Ketika temu bual bersama pembangun dari Lemon Sky Studios, mereka menyatakan yang mana segala rekaan aset dihasilkan semula dari awal, berdasarkan rekaan asal oleh Westwood Studios. Seperti yang diperlihatkan di karya konsep di atas, kualiti rekaan semula yang dihasilkan oleh mereka harus dipuji atas sebab kualiti yang sangat terperinci.

Walaupun begitu, dari segi pernambah-baikkan adegan, ianya tidaklah dihasilkan semula dengan visual baharu. Kebanyakan daripada hanya dinaik-taraf dengan sokongan resolusi tinggi sahaja, dan aset-aset adegan terutamanya model 3D menjadi lebih pecah dan agak pelik untuk ditonton.

Namun dari segi pernaik-tarafan visual untuk adegan nyata, ianya boleh dikatakan adalah cukup bagus berbanding visual asal lebih dari 20 tahun lepas. Saya sendiri masih lagi berpuas hati dengan apa yang disampaikan oleh EA untuk permainan pernambah-baikkan ini. Tambahan itu, dengan harga jualan yang dijual serendah RM78, saya berasa ia memadai dengan visual yang dihasilkan.

Dari segi aspek audio, semestinya permainan ini dihasilkan dengan kualiti yang baik sekali di mana komposer asal permainan tersebut, berjaya menghasilkan semula muzik di dalam permainan ini dengan sejumlah 7 jam muzik dipernambah-baikkan. Muzik-muzik di dalam permainan ini juga memberi pengalaman dan kesan permainan yang sangat seronok ketika dimainkan, terutamanya muzik Rock yang sangat rancak dan tepat dengan tema permainan peperangan ini.

Menariknya, melalui fungsi “Jukebox” anda juga boleh menghasilkan senarai lagu pilihan anda sendiri, sekaligus memudahkan anda untuk memilih muzik kesukaan anda sepanjang sesi permainan.

Dari segi audio lain seperti bunyi unit bercakap, kesan bunyi letupan dan sebagainya, apa yang saya boleh katakan ia sama sekali dengan permainan asal. Walaupun terdapat beberapa kesan bunyi yang agak menjengkelkan seperti unit yang tidak berhenti cakap ketika diberi arahan, namun pada pendapat saya, ianya hanyalah memastikan keaslian permainan tersebut dengan versi asalnya. Namun untuk satu permainan moden, ia mungkin akan dibenci oleh pemain.

Kandungan Yang Sangat Pelbagai Dengan Memori Nostalgia

Apa yang membuatkan saya berasa permainan ini berasa sangat baik dari segi aspek kandungan adalah penyertaan kandungan-kandungan tambahan seperti misi-misi yang terdapat di dalam Command & Conquer: The Covert Operations, Red Alert Aftermath dan paling menarik sekali adalah misi eksklusif yang dilancarkan di versi konsol, sekaligus buat pertama kali misi tersebut boleh dimainkan di PC.

Dengan penyertaan ini, ianya boleh dikatakan permainan ini adalah permainan lengkap buat mereka yang ingin bermain versi asal Command & Conquer, terutamanya buat mereka yang pernah bermainnya pada 1995 lepas.

Saya juga amat menyukai kandungan tambahan seperti galeri rakaman-rakaman adegan nyata yang dirakam bersama skrin hijau di dalam permainan ini di mana setelah pemain melengkap beberapa misi, EA akan memberi ganjaran buat pemain untuk menontonnya secara terus.

Kandungan ini sedikit sebanyak memperlihatkan peminat bagaimana permainan ini dibangunkan beberapa tahun lepas dan semestinya membawa pengalaman nostalgia yang sangat kuat buat mereka yang mengikuti siri ini.

Multi-Pemain Yang Sangat Mencabar Jika Anda Seorang “Noob”

Saya perlu akui yang mana saya sendiri bukanlah seorang pemain profesional mahupun bagus di dalam mana-mana permainan kompetitif. Jadi untuk permainan strategi seperti Command & Conquer, jika bermain secara atas-talian, semestinya saya adalah pemain pertama yang akan ditumpaskan.

Jadi apa yang saya boleh katakan adalah, walaupun permainan ini menyokong bentuk permainan secara atas-talian, namun jika anda seorang yang kompetitif, anda mungkin akan berminat untuk mencubanya. Pada pendapat saya sendiri, ketika saya bermain secara atas-talian, saya sendiri tidak pernah langsung memenangi sebarang sesi permainan bahkan jika bermain lebih dari 2 atau 3 pasukan, saya pasti adalah pemain pertama yang ditewaskan.

Walaupun begitu, bentuk multi-pemain di dalam permainan ini adalah sangat bagus sekali dengan penyertaan pelbagai pilihan lokasi yang anda boleh mainkan dengan terdapat beberapa lokasi yang menyokong sehingga 8 pemain serentak.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh katakan adalah Command & Conquer: Remastered Collection ini sememangnya adalah satu permainan pernambah-baikkan yang sangat bagus oleh EA. Ianya bukan sahaja kekal asli dengan permainan asal, malah dengan fungsi untuk menukarkan visual klasik ke visual moden dengan hanya menekan “Space Bar” dengan papan kekunci bersama dengan muzik-muzik klasik permainan membuatkan versi ini adalah satu permainan lengkap buat siri Command & Conquer.

Akan tetapi, atas sebab beberapa masalah keseimbangan permainan dan juga kecerdasan buatan permainan yang mana mungkin agak ketinggalan untuk permainan moden, ia berasa agak sukar dan menyusahkan terutamanya buat saya sendiri yang sudah lama meninggalkan genre permainan sebegini.

Walaupun begitu, sepanjang sesi permainan saya, tidak langsung saya hiraukan segala masalah tersebut atas sebab permainan ini memberi pengalaman nostalgia yang saya inginkan ketika bermainnya.

Perkara yang sama juga saya boleh katakan untuk keseluruhan permainan ini, di mana pada pendapat saya sendiri, bagi anda yang pernah bermain siri Command & Conquer, semestinya koleksi ini adalah satu koleksi yang sangat berbaloi untuk membawa anda kembali ke tahun 1995. Namun jika anda seorang pemain baharu yang inginkan permainan strategi masa nyata yang bagus, saya lebih mengesyorkan anda untuk bermain permainan lain.

Penafian: Kod ulasan Command & Conquer Remastered Collection disediakan oleh Electronic Arts.


TIPS & ULASAN