Di CES pada awal tahun ini, Razer telah mengumumkan alat kawalan baharu untuk telefon pintar iaitu Razer Kishi di mana ia menggunakan sambungan terus kepada peranti berbanding menggunakan bluetooth.

Hari ini, Razer akhirnya mengesahkan yang alat kawalan tersebut akan tiba secara rasmi di Malaysia pada 27 Jun melalui pengedar rasmi terpilih dan akan ditawarkan dengan harga RM389. Buat masa ini hanya versi Android iaitu dengan sambungan USB-C akan ditawarkan. Versi iOS dengan sambungan Lightning akan ditawarkan sekitar suku ketiga tahun ini.

Seperti diumumkan sebelum ini, oleh kerana ia disambung terus ke peranti, ia tidak perlu untuk dicaj secara berasingan, dan jika anda ingin mengecas peranti semasa bermain, ia mempunyai port di luar untuk digunakan. Secara teori, ia juga akan mengurangkan kadar pendam berbanding sambungan melalui bluetooth.

Ia akan menyertakan batang analog yang boleh ditekan bersama dengan pelbagai butang pelbagai fungsi, D-pad 8 arah. Ia juga akan disertakan dua picu analog dan 2 butang atas untuk memberi pengalaman alat kawalan konsol.

Sohor Kini