Lanjutan berkenaan 160,000 akaun Nintendo yang digodam sebelum ini, Nintendo hari ini menyatakan yang mana mungkin terdapat lagi 140,000 akaun Nintendo yang diakses oleh pihak luar, sekaligus meletakkan sejumlah 300,000 akaun Nintendo yang terkesan.

Menurut kenyataan Nintendo, mereka sudah pun menghubungi kesemua akaun yang terkesan untuk menukar kata laluan dan pada masa yang sama mereka menyatakan kurang daripada 1% akaun sahaja yang digunakan untuk melakukan transaksi tanpa pengetahuan pengguna. Meskipun begitu, Nintendo sudah pun membuat pembayaran semula.

Nintendo juga menyatakan yang mana kesan godam ini, kebanyakan akaun menggunakan kata laluan yang sama di laman lain dan mereka menegaskan pengguna untuk mengaktifkan pengesahan dwi-faktor buat akaun Nintendo sebagai langkah berjaga-jaga untuk masa hadapan.

Sebelum ini, Nintendo sudah pun menyekat log masuk akaun Nintendo melalui Nintendo Network ID untuk memastikan keselamatan akaun pengguna.

Sekali lagi, ini merupakan satu perkara yang agak mengecewakan dan kami di Aksiz menasihati anda untuk mengaktifkan fungsi dwi-faktor dan mungkin menukarkan kata laluan anda untuk keselamatan akaun anda pada masa akan datang.

Sohor Kini