Sejak pelancaran permainan mudah-alih (Permua) Mobile Legends: Bang Bang beberapa tahun lepas, permua tersebut bukan sahaja mengejutkan dunia dengan jumlah aktif pemain sehingga 75 juta, malah ia juga merupakan salah satu permua yang sangat terkenal di Malaysia ini dengan pelbagai kejohanan yang sering dilakukan setiap tahun.

Terkini, untuk meneruskan sokongan buat permua tersebut, Moonton mengumumkan inisiatif ataupun projek khas “NEXT” di mana ia adalah kemaskini komponen utama untuk pernaik-tarafan permua bukan sahaja dari segi kawalan malah keseluruhan kandungan permua tersebut. Moonton turut menyatakan projek ini merupakan satu inisiatif terbesar buat mereka setakat ini.

Dengan berkembangnya permua Mobile Legends: Bang Bang sejak pelancarannya dengan pelbagai watak dan kawalan baharu, Moonton menyatakan yang mana terdapat beberapa watak terdahulu berasa kurang menarik buat pemain. Sekaligus, melalui inisiatif “NEXT” ini, Moonton menjanjikan yang mana mereka akan tingkatkan watak-watak terdahulu tersebut dengan pelbagai ciri unik secara berperingkat.

Selain itu, Moonton juga menyatakan yang mana pengubah-suaian tersebut akan dilakukan berdasarkan rekaan teras watak tersebut bersama dengan pengubah-suaian kemahiran dan penceritaan baharu. Moonton juga mengesahkan akan terdapat pernaik-tarafan visual seperti model, animasi dan kesan bunyi berlainan.

Dari segi aspek pernaik-tarafan kawalan pula, Moonton menyatakan yang mana mereka akan memperkenalkan fungsi “Smart Targeting” ataupun sasaran pintar yang memberi pemain kebebasan untuk memilih sasaran dengan lebih tepat dan mudah ketika pemain ingin gunakan kemahiran watak.

Dengan fungsi ini, ianya bukan sahaja akan memudahkan pemain untuk menyerang malah ia pasti akan membawa pengalaman kompetitif yang lebih mencabar buat pemain.

Atas sebab beberapa peranti yang mempunyai skrin yang agak terhad, Moonton juga menyertakan satu ciri baharu yang akan menyelesaikan masalah tersebut iaitu fungsi untuk zum keluar dan menukarkan kamera kepada kamera condong ketika kemahiran watak dilakukan.

Perubahan ini semestinya akan tingkatkan lagi kawalan permainan buat Mobile Legends: Bang Bang dan pada masa yang ia pasti akan memberi nafas baharu buat mereka yang bermain secara kompetitif.

Bersempena dengan itu, Moonton juga memuat-naik video khas “Inside Mobile Legeneds khas yang anda boleh tonton di bawah untuk melihat dengan lebih terperinci projek “NEXT” ini termasuklah kemaskini baharu lain.

Sejak pengumuman Mobile Legends: Bang Bang 2.0 tahun lepas, Moonton sememangnya membawa peningkatan buat pengalaman permainan tersebut di mana ia bukan sahaja tingkatkan kualitinya, malah permua tersebut menjadi salah satu permainan kompetitif yang sangat terkenal di kalangan pemain di Malaysia.

Dengan inisiatif “NEXT” ini, Moonton juga berharap ia akan terus tingkatkan kualiti permainan ini dengan pelbagai lagi kemaskini akan datang yang akan diumumkan kemudian.

Bagi anda yang berminat, Mobile Legends: Bang Bang boleh dimuat-turun secara percuma di iOS dan Android melalui pautan di bawah.

Muat-Turun iOS: Mobile Legends: Bang Bang

Muat-Turun Android: Mobile Legends: Bang Bang

Penafian: Advertorial ini dibawakan oleh IO Esports

Sohor Kini