Permainan Animal Crossing: New Horizons sememangnya penuh dengan pelbagai pengubah-suaian dan tetapan yang pelbagai di mana pemain boleh menghasilkan pelbagai bentuk rekaan dari segi rekaan pulau, lukisan dan semestinya kostum buat watak pemain.
Dengan kebebasan untuk mereka pelbagai kostum, hari ini seorang pemain bernama DJ-Dez di Reddit, telah menghabiskan 400 jam untuk menghasilkan semula kesemua kostum daripada watak-watak Super Smash Bros. Ultimate.
Seperti anda lihat di atas, terdapat lebih dari 50 watak yang dihasilkan semula dengan kostum asal buat watak permainan dari Super Smash Bros. Ultimate, termasuklah watak DLC seperti Joker dan Terry. DJ-Dez juga menghasilkan semula kostum buat watak Mii Fighter, namun bagi watak Isabelle, memandangkan beliau sudah pun berada di dalam permainan Animal Crossing, ia tidak dihasilkan semula.
Jadi bagi anda yang berminat untuk dapatkan kostum-kostum tersebut, anda boleh ke pautan ini untuk mendapatkan kod Creator ID. Namun bagi kostum Kirby dan MR.Game & Watch, DJ-Dez menyatakan beliau menggunakan barangan asal di dalam permainan.
Animal Crossing: New Horizons telah pun dilancarkan di konsol Switch pada Mac lepas di mana kami sebelum ini juga telah pun mengulas permainan ini di mana anda boleh membacanya di bawah.