Kemaskini: Berdasarkan kenyataan di Gulf News, Tencent mengatakan yang mereka sangat menyesal kerana kandungan di dalam permainan ini menyinggung sesetengah pemain. Mereka juga telah membuang gerakan dan juga visual yang terlibat.
Berdasarkan beberapa laporan, ia juga dikatakan yang mod Mysterious Jungle telah dibuang terus daripada permainan.
Artikel Asal: Bersama dengan pengenalan mod baharu iaitu Mysterious Jungle, antara yang diperkenalkan adalah Totem, di mana pemain boleh mencari totem dan “menyembah” untuk mendapat pelbagai kelebihan termasuk sembuhkan nyawa.
Perkara tersebut telah mencetus kritikan oleh pemain yang beragama Islam kerana ia adalah bertentangan dengan kepercayaan mereka. Pemain dari negara Arab Saudi, Kuwait dan Indonesia adalah antara yang teramai menyuarakan kritikan.
Menjawab kritikan tersebut, Tencent melalui Twitter rasmi mereka mengatakan yang mereka telah mengubah perkataan serta interaksi untuk fungsi tersebut agar dapat mengurangkan masalah tersebut.
PUBG Mobile adalah versi mudah alih untuk permainan PUBG dan sudah dikeluarkan untuk iOS serta Android.