Naughty Dog sebelum ini telah berkongsi mengenai penceritaan, bentuk permainan, dan juga perincian untuk The Last of Us Part II. Hari ini mereka berkongsi pula satu video yang memfokuskan rekaan dunia serta pelbagai halangan yang hadir.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Antara yang diperlihatkan adalah rekaan Jackson iaitu penempatan yang sangat baik di mana satu komuniti telah terbina. Di sinilah, Joel dan Ellie berada selepas kejadian di dalam permainan pertama. Naughty Dog menghasilkan tempat ini untuk memperlihatkan tempat yang terpaksa ditinggalkan oleh Ellie untuk memenuhi perasaan amarah beliau.

Selain itu, ia juga memperlihatkan Seattle iaitu kawasan yang sangat berbeza dengan Jackson kerana ia bagaikan satu kawasan perang kerana kumpulan Washington Liberation Front (WLF) dan Seraphite saling bertempur untuk merebut kawasan tersebut. Bagi melalui kawasan tersebut, Ellie terpaksa berdepan dengan mereka.

Video tersebut juga menerangkan lanjut mengenai setiap kumpulan. WLF merupakan pasukan pemberontak seperti Firefly di mana mereka telah berjaya menewaskan tentera di kawasan Seattle dan mengambil kesemua peralatan dan senjata tentera. Mereka juga mempunyai anjing yang dapat mengesah musuh.

Manakala Seraphite merupakan kumpulan pelampau agama, di mana mereka percaya yang wabak yang menghasilkan zombi ini adalah akibat dosa manusia. Mereka juga tidak menyukai barangan moden. Mereka lebih suka menyelinap dan menggunakan panah.

Akhir sekali, ia juga memperlihatkan zombi, selain membawa kembali zombi-zombi sebelum ini ia juga mempekenalkan zombi baharu antaranya Shambler yang akan mengeluarkan satu gas beracun, selain mempunyai ketahanan yang tinggi.

Selain video di atas, Naughty Dog juga berkongsi video adegan tetapi ia adalah rekaan semula dan bukan diambil terus daripada permainan. Kami sertakan video tersebut di bawah.

The Last of Us Part II akan dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 4 pada 19 Jun 2020.

Sohor Kini