Skip to main content

Prison Break tidak boleh dinafikan lagi merupakan antara siri TV paling popular dan sukar untuk mencari kalangan orang dewasa yang tidak pernah menonton ataupun mendengar mengenai siri ini. Namun, jika anda adalah salah seorang daripada sebahagian kecil yang tidak pernah mengetahui mengenainya, berikut adalah sedikit pengenalan mengenai siri ini.

Ia merupakan siri TV yang dikeluarkan oleh Fox dan dicipta oleh Paul Scheuring. Ia mempunyai 4 musim secara keseluruhan yang dikeluarkan bermula pada tahun 2005 dan berakhir pada tahun 2009. Ia juga menerima 9 episod tambahan, yang boleh dianggap sebagai musim ke-5, tiba dan berakhir pada tahun 2017. Selain itu terdapat juga satu filem The Final Break yang tiba pada tahun 2009.

Namun daripada 5 musim tersebut, musim pertama adalah musim terbaik buat siri ini, bahkan saya boleh katakan musim tersebut merupakan antara siri TV terbaik yang pernah dihasilkan. Berikut adalah mengapa;

Watak Utama Seakan Adiwira

Apabila saya melihat kembali siri ini, yang kini ditawarkan di Netflix, saya mula menyedari yang ia adalah satu filem adiwira walaupun tidak mempunyai “kuasa”. Terutama melalui watak utama untuk siri ini iaitu Michael Scofield yang dilakonkan oleh Wentworth Miller.

Walaupun Scofield tidak mempunyai kuasa seperti adiwira biasa, tetapi beliau merupakan seorang yang sangat bijak. Apa yang menarik mengenainya, kebijaksanaan tersebut mempunyai sumber iaitu beliau mempunyai “penyakit” yang digelar sebagai Low Latent Inihibiation.

Apa yang dimaksudkan dengan penyakit tersebut adalah berbanding melihat sesuatu secara asas, orang yang mempunyainya akan melihat sesuatu dengan lebih terperinci. Jika manusia biasa memilikinya, ia boleh menyebabkan masalah mental kerana menerima terlalu banyak informasi, tetapi jika ia dihidapi oleh orang mempunyai IQ yang tinggi, mereka akan menjadi seorang yang genius.

Selain itu, akibat trauma masa kecil, watak Scofield juga mempunyai masalah tidak memiliki nilai diri, tetapi apabila perkara tersebut hadir bersama dengan Low Latent Inihibiation, dia menjadi seorang yang sangat empati, dan tidak dapat mengabaikan kesusahan orang lain.

Bagi saya, menjadikan watak Scofield sebagai seorang yang bijak dan baik hati kerana penyakit yang dihadapinya memberi dinamik berbeza kepada watak tersebut dan menjadikannya satu watak yang menarik dan unik.

Premis Penceritaan Ringkas Tetapi Menarik

Setiap siri TV harus mempunyai tarikan tersendiri untuk membuatkan penonton sentiasa ingin tonton episod-episod seterusnya. Bagi Prison Break penceritaan asas adalah ringkas, Scofield ingin mengeluarkan abangnya iaitu Lincoln Burrows yang dia percaya dimasuki penjara untuk sesuatu yang tidak dilakukannya.

Ia ada juga menyentuh konspirasi mengenai satu organisasi di belakang penangkapan Burrows tetapi ia sekadar sampingan sahaja, kebanyakan penceritaan lebih memfokuskan kepada plot di atas. Ini secara langsung membantu untuk menjadikan penceritaan musim ini ringkas, tetapi kerana ia dikembangkan dengan baik, ia masih lagi sangat menarik.

Saya boleh katakan, musim-musim seterusnya menjadi kurang menarik kerana ia mula memfokuskan kepada mengenai konspirasi organisasi tersebut, ia menjadi sedikit rumit dan plot juga mula bercelaru. Permulaan yang humble untuk musim pertama, menjadi antara kekuatan utama untuk siri ini.

Watak-Watak Tambahan Menguatkan Penceritaan

Perkara yang sangat membantu untuk menjadikan premis penceritaan walaupun ringkas tetapi menarik adalah hadirnya ramai watak tambahan yang setiap-nya digunakan dengan sangat baik. Sepanjang satu musim ini, sukar untuk mencari watak-watak yang terasa rugi. Setiap seorang daripada mereka membawa sesuatu kepada penceritaan.

Watak Scofield dan Burrow sudah semestinya adalah fokus utama tetapi hadirnya watak seperti Theodore ‘T-Bag’ Bagwell, Fernando Sucre, Brad Bellick, John Abruzzi, Sara Tancredi dan Veronica Donovan berjaya bukan sahaja mengembangkan penceritaan tetapi membantu untuk memberi nilai tambah kepada setiap plot.

Setiap watak tersebut juga berjaya dikembangkan dengan baik, membuatkan saya mengambil kisah setiap daripada mereka dan tidak merasakan sesuatu watak hanya disertakan semata-semata untuk satu plot, sebaliknya setiapnya memainkan peranan penting dari awal sehinggalah pengakhiran musim dan ada yang berterusan sehingga ke musim-musim yang berikutnya.


Prison Break, terutamanya musim pertama akan terus menjadi satu siri TV yang istimewa untuk saya. Saya boleh katakan ia juga adalah antara siri TV terawal yang saya betul-betul meluangkan masa untuk menontonnya dan menjadi topik perbualan dengan rakan-rakan pada satu ketika dahulu. Walaupun kurang menggemari bagaimana penceritaan dikembangkan pada musim-musim seterusnya, tetapi secara keseluruhan ia masih lagi satu siri TV yang berbaloi untuk anda luangkan masa menonton.

Bagaimana dengan anda? Adakah Prison Break satu siri yang pernah ditonton atau masih tidak berkesempatan? Serta siri TV apa yang mempunyai musim pertama yang sangat menarik?

Leave a Reply