The Last of Us Part II akan dikeluarkan pada 19 Jun ini, dan kami akan terbitkan ulasan penuh kami pada 12 Jun kelak. Manakala untuk hari ini, saya akan berkongsi pandang pertama untuk permainan ini, di mana akan memfokuskan kepada bentuk permainan yang diperlihatkan oleh Naughty Dogs semasa State of Play. Video tersebut anda boleh tonton di bawah, sesi permainan adalah lebih kurang 10 minit terakhir.

Selain itu, Aksiz dan beberapa media lain juga berkesempatan untuk temu bual Anthony Newman iaitu pengarah bersama untuk The Last of Us Part II yang sebelum ini pernah terlibat dengan permainan asal The Last of Us dan juga siri permainan Uncharted.

Menjawab mengenai bagaimana Naughty Dog mengambil keputusan untuk mengeluarkan “Part II” bagi The Last of Us, beliau mengatakan yang ia adalah untuk menceritakan sambungan kepada penceritaan pertama dan bukan sekadar sambungan biasa tetapi memfokuskan kepada kesan untuk pilihan yang dilakukan sebelum ini.

Anthony Newman yang terlibat dengan pembangunan untuk Uncharted dan The Last of Us juga mengatakan yang jika dibandingkan dengan siri Uncharted, beliau lebih tertarik dengan The Last of Us kerana ia menyertakan mekanik permainan yang lebih menarik. Uncharted memberikan pengalaman yang berterusan, manakala The Last of Us pada asasnya adalah permainan strategi tambah beliau lagi.

Pandang pertama ini, saya tidak akan memberi pandangan saya mengenai penceritaan, bukan sahaja kerana untuk mengelakkan beberan tetapi saya ingin lebih memfokuskan kepada bentuk permainan. Ulasan mengenai penceritaan saya akan sertakan semasa ulasan penuh kelak.

Namun, bercakap mengenainya, terutama mengenai pilihan Naughty Dog untuk menggunakan tema “kebencian”, Anthony Newman mengatakan yang The Last of Us adalah permainan yang memfokuskan kepada nilai kemanusiaan.

Jika permainan pertama adalah bagaimana “kasih sayang” mendorong manusia, di dalam Part II ini pula adalah bagaimana “kebencian” merosakkan nilai kemanusiaan, di mana, pada akhirnya ia hanya membawa kehancuran kepada semua pihak. Beliau juga mengatakan dengan keadaan dunia sekarang, ia adalah satu penceritaan yang penting untuk disampaikan.

Dunia Lebih Luas

Jika anda tonton video bentuk permainan di atas, pertama yang anda sedar adalah Ellie sekarang boleh berenang secara sendiri dan ia adalah antara penambahan yang diperlukan untuk mengembara di dunia yang direka dengan lebih meluas.

Walaupun ia bukanlah satu permainan dunia terbuka, ia mempunyai kawasan yang lebih luas berbanding permainan pertama di mana anda boleh mengembara ke pelbagai kawasan jika ingin, dan jika tidak anda bukan sahaja tidak mendapat pelbagai barangan tetapi juga pelbagai collectible.

Falsafah di sebalik rekaan dunia ini, Anthony Newman mengatakan mereka ingin menghasilkan satu dunia yang realistik tetapi pada masa sama memberikan pemain pelbagai mekanik untuk digunakan bagi memberi pengalaman pengembaraan yang lebih baik.

Antaranya adalah pemain kini dapat memecahkan kaca tingkap, melompat dengan lebih jauh dan juga penggunaan tali untuk memanjat. Kesemua ini digunakan secara realistik tetapi pada sama menghasilkan satu tekaria untuk pemain selesaikan.

Rekaan dunia ini juga di bawa semasa pertempuran. Pemain akan mempunyai kawasan yang lebih terbuka, jika perlu, pemain boleh bergerak dengan pantas sama ada untuk mengelak daripada dikesan ataupun untuk menarik penjahat atau zombi ke perangkap.

Pertempuran Yang Lebih Rumit

Bersama dengan kawasan yang lebih terbuka, pelbagai mekanik baharu juga disertakan seperti meniarap. Ia bukan sahaja berguna untuk menyelinap atau menyorok, tetapi oleh kerana anda boleh melakukan kesemua aktiviti seperti crafting, menggunakan ubat ataupun menyerang semasa meniarap ia memberi cara baharu untuk melakukan sesuatu secara tersembunyi.

Selain itu, terdapat juga pelbagai kawasan yang sempit, seperti celah dinding di mana pemain boleh cuba memasukinya, ia mengambil lebih masa berbanding pergerakan biasa, tetapi ia juga bermakna yang penjahat akan perlu melakukan perkara yang sama dan memberi peluang kepada pemain untuk menyerang.

Hadirnya pelbagai mekanik ini, Naughty Dog juga memberi nilai tambah kepada penjahat. Anthony Newman, semasa temu bual serba sedikit menerangkan mengenainya. Jika permainan pertama, penjahat akan mempunyai 2 peringkat kesedaran sahaja, sama ada mereka tahu di mana pemain berada ataupun tidak. Namun, di dalam Part II, penjahat kini mempunyai tahap pertengahan di mana mereka menyedari sesuatu berlaku seperti rakan mereka terbunuh, dan mula “meneka” kedudukan pemain dan akan menyiasat.

Semasa saya bermain, saya boleh katakan berbanding permainan pertama, AI di dalam Part II memerlukan saya bergerak dengan lebih cepat, dan membuat keputusan dengan segera sama ada ingin menyerang, mengelak ataupun melarikan diri secara terus. Dengan peluru dan bahan yang terhad, menyerang secara berdepan bukanlah satu pilihan yang sering boleh digunakan.

Kesemua perkara di atas akan memberikan satu sesi pertempuran yang sangat mendebarkan, ditambah lagi dengan penggunaan kamera yang dekat, serta ada masa berada di kawasan yang sempit, menambahkan lagi debaran tersebut.

Grafik Lebih Realistik

Seperti The Last of Us yang pertama, Part II juga cuba untuk mengguna pakai kesemua kuasa yang disertakan di PS4, termasuk juga PS4 Pro dan bagi ia memberikan kualiti grafik yang sangat baik. Tekstur berkualiti tinggi, ini ditambah lagi dengan rekaan dunia serta persekitaran yang realistik.

Walaupun kita tidak mungkin mempunyai perbandingan, tetapi jika benarlah berlaku kejadian di dalam The Last of Us, saya pasti dunia akan kelihatan seperti di dalam permainan ini. Di dalam video dikongsi anda boleh lihat bagaimana mereka mencampurkan hutan konkrit dan hutan hijau, untuk menghasilkan dunia yang walaupun “apokaliptik” tetapi terasa hidup.

Sebagai permainan seram, penggunaan lampu juga memainkan peranan yang penting dan saya boleh katakan mereka berjaya melakukannya. Ia juga digunakan dengan baik untuk memberi gambaran dunia yang bersesuaian dengan tema permainan ini iaitu perasaan negatif seperti kebencian dan dendam.

Satu lagi bahagian penting di dalam grafik adalah rekaan ekspresi watak untuk memberi visual yang jelas mengenai emosi setiap watak termasuk juga watak-watak penjahat. Menurut Anthony Newman, mereka cuba memberi gambaran yang sebenar mengenai keadaan sesuatu watak, tidak kira semasa perasaan cemas, takut, gembira dan sebagainya. Ada masa boleh kelihatan urat-urat serta muka menjadi marah untuk menggambarkan emosi watak tersebut.

Bagi saya, perkara ini bukan sahaja membantu untuk menjadikan penceritaan lebih menarik tetapi juga memberi lebih perwatakan setiap watak membantu untuk menjadikan watak tersebut lebih memberi impak.

Rumusan

Berdasarkan pandang pertama saya terutama untuk rekaan dunia, bentuk permainan dan grafik saya boleh katakan yang The Last of Us Part II menyertakan sesuatu yang lebih baik berbanding permainan pertama. Dunia terasa lebih luas tetapi pada masa sama mengekalkan perasaan yang ia betul-betul dunia sebenar.

Bentuk permainan menjadi lebih seram, mendebarkan, pelbagai mekanik baharu memberi lebih perasa kepada pertempuran. Grafik yang terus menggunakan kuasa konsol secara maksimum membawa kepada kualiti yang sangat baik dan pada masa sama membawa membawa perkara yang “kecil” untuk memberi lebih emosi kepada rekaan watak.

Dengan kata lain, ia adalah permainan yang lebih baik. Namun, saya pasti ramai seperti saya yang lebih mementingkan penceritaan, jadi buat masa ini kita kena nantikan apabila ulasan penuh tiba kelak.

Sohor Kini