Eurogamer hari ini melaporkan yang sebarang permainan untuk PlayStation 4 yang dihantar untuk pengesahan oleh Sony selepas 13 Julai 2020 mesti juga menyokong PlayStation 5. Pengesahan oleh Sony adalah perkara yang mesti diperoleh sebelum dapat mengeluarkan permainan untuk konsol mereka.
Tambah laporan tersebut lagi, “menyokong” di sini membawa maksud yang kesemua fungsi yang disertakan di dalam permainan tersebut mesti boleh dijalankan di PS5 tanpa masalah serta tanpa sebarang kekurangan. Ini termasuk juga sebarang kemaskini serta penambahan di masa hadapan.
Ini tidak membawa maksud permainan yang dilancarkan selepas 13 Julai secara terusnya menyokong PS5, kerana kebiasaan pembangun akan menghantar untuk pengesahan lebih awal berbanding tarikh pengeluaran. Namun, kami boleh katakan permainan yang dikeluarkan pada bulan Ogos dan ke atas sepatutnya perlu menyokong PS5 dengan syarat oleh Sony ini.