Sejak filem-filem Marvel Cinematic Universe (MCU) menjadi popular, banyak pembuat filem turut ingin hasilkan dunia masing-masing kerana lihat Marvel berjaya menghasilkan satu dunia yang mana setiap filem mereka adalah berkait antara satu sama lain. Salah satu pesaing Marvel adalah DC, yang mana terkenal dengan DCEU – tetapi DCEU bukan nama rasmi sebaliknya adalah nama yang peminat guna sahaja.
DCEU atau nama penuhnya adalah DC Extended Universe akhirnya digunakan secara rasmi oleh Warner Media. Melalui platform penstriman video HBO Max, kategori filem-filem DC disenaraikan sebagai DC Extended Universe. Dalam kategori ini, filem yang disenaraikan adalah Batman v Superman: Dawn of Justice, Suicide Squad, Wonder Woman, Justice League, Aquaman, dan Shazam!. Walaupun filem Joker ada dalam HBO Max, itu adalah filem tersendiri yang tiada kaitan dengan dunia adiwira.
Filem Shazam!, Aquaman dan Wonder Woman sudah disahkan akan mempunyai sekuel, yang mana seperti biasa mungkin akan ada petanda yang setiap filem ini akan berkait antara satu sama lain. Filem The Suicide Squad walau bagaimanapun, bukannya sekuel atau prekul atau juga olahan semula – ia adalah satu versi tersendiri dari James Gunn yang berada dalam dunia yang sama dan membawakan beberapa pelakon asal.
Mungkin dengan pengenalan Justice League Snyder Cut (potongan Snyder) hadir tahun depan, dunia DCEU ini akan bertambah berkembang dan lebih menarik? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.