Skip to main content

Seperti yang dijanjikan oleh Square-Enix sebelum ini, permainan dan anime berdasarkan Dragon Quest: The Adventure Of Dai ataupun lebih dikenali sebagai Misteri Naga buat pembaca komik di Malaysia, akhirnya diumumkan secara rasmi.

Terdapat sejumlah tiga permainan yang diumumkan secara rasmi di platform berbeza bersama-sama siri anime khas yang akan mula ditayangkan Oktober ini.

Pengumuman pertama adalah siri anime buat Dragon Quest: The Adventure Of Dai di mana ia adalah kerjasama bersama Square-ENix dan Toei Animation di mana siri anime ini adalah adaptasi semula berdasarkan komiknya dengan nama yang sama yang mula diterbitkan pada 1991 lepas.

Menurut Yuji Horii, iaitu pereka siri Dragon Quest, beliau akan cuba untuk ‘habiskan’ anime ini memandangkan siri anime yang diadaptasi sebelum ini tidak dihabiskan secara rasmi.

https://www.youtube.com/watch?v=3EHPUHvftdA

Manakala bagi permainan pula, permainan pertama yang diumumkan adalah permainan aksi RPG Infinity Strach – Dragon Quest: The Adventure Of Dai di mana ia bakal tiba di konsol pada tahun 2021 ini. Buat masa ini, ianya disahkan akan tiba buat pasaran Jepun sahaja, tetapi kami percaya ia mungkin akan dilancarkan secara global.

Dari segi informasi lain, tidak banyak yang dikongsikan. Namun berdasarkan video acah di atas, ia kelihatan akan mempunyai bentuk permainan beraksi dengan pelbagai adegan sinematik yang pasti menarik minat peminat siri Dragon Quest.

Permainan kedua pula merupakan permainan mudah-alih (Permua) yang dibangunkan untuk peranti iOS dan Android. Dengan nama Dragon Quest: The Adventure of Dai – Bonds Of Soul, permua tersebut kelihatan akan memfokuskan bentuk pertempuran bergrid yang mana pemain akan bertempur secara masa nyata secara berperingkat.

Permua ini juga akan dilancarkan pada 2021 ini di pasaran Jepun dan versi global masih belum diumumkan.

Permainan terakhir pula adalah Dragon Quest: The Adventure of Dai – Xross Blade di mana ia adalah permainan arked khas yang bakal tiba di pasaran Jepun dan ia memfokuskan pemain untuk mengumpul kad dan menghasilkan pasukan watak melalui untuk bertempur dengan musuh.

Selain itu, berdasarkan video acah di atas, setiap kad juga kelihatan akan mempunyai arah serangan berbeza di mana pemain perlu bijak menyusun untuk menghasilkan serangan yang kuat.

Seperti kebanyakan permainan arked lain, kami percaya permainan ini akan eksklusif di pasaran Jepun sahaja dan ia bakal dilancarkan suku keempat tahun ini.

Bagi peminat siri Misteri Naga, semestinya ini adalah satu pengumuman yang sangat menarik di mana kami di Aksiz juga tidak sabar untuk bermain dan menonton siri anime ini. Meskipun begitu, memandangkan versi global masih belum diumumkan, kita mungkin akan dapat mengakses beberapa kandungan sahaja secara terhad.

Leave a Reply