Westworld adalah siri TV dari HBO yang memfokuskan anroid yang memberontak. Robot-robot ini berang dengan sikap manusia yang asyik ingin mengawal mereka, jadi mereka memberontak untuk menuntut hak kehidupan masing-masing. Siri TV ini sudah pun menamatkan musim ketiga dan musim keempat telah pun disahkan. Menurut laporan sebelum ini, siri TV ini akan berterusan sehingga musim keenam.
Salah satu watak utama yang memainkan peranan penting dalam siri TV ini adalah Maeve. Beliau adalah antara android yang terawal mempunyai kesedaran tersendiri dan mempunyai kuasa maksimum, seperti mempunyai tahap kepintaran yang tinggi dan mampu membuat keputusan tanpa kawalan manusia. Akaun Twitter rasmi Wetsworld baru-baru ini telah membuat ciapan berbunyi, “We need you to finish what you started, Maeve.” dengan GIF dari siri TV tersebut. Pelakon Maeve, iaitu Melanie Thandiwe Newton turut memetik ciapan ini dan bersetuju.
Apa yang Maeve lakukan dalam siri TV tersebut adalah seakan menyelamatkan dunia dan cuba mencipta satu revolusi baharu yang mana manusia dan android boleh hidup antara satu sama dengan yang lain. Berbeza dengan Dolores yang ingin membalas dendam ke atas manusia sebelum mencipta revolusi baru. Dalam musim ketiga, ia tamat dalam keadaan yang tergantung. Tidak pasti Maeve atau Dolores yang menang. Jadi, dengan ciapan tadi, ia jelas sekali adalah satu “acah” yang siri TV sampingan adalah tidak mustahil.
Ya benar, musim keempat sudah disahkan. Tetapi baki dua musim lagi tiada khabar sama ada ia adalah sekuel secara terus atau siri sampingan. Jadi, potensi Maeve untuk mempunyai siri TV sampingan tersendiri adalah tinggi. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.