Skip to main content

Gears ataupun Gears of War merupakan satu IP yang tidak asing lagi oleh beberapa pembangun terutamanya The Coalition di bawah payung Xbox Games Studios. Bersama dengan pengumuman permainan utama terbaru iaitu Gears 5, mereka juga mengumumkan 2 permainan sampingan.

Pertama adalah Gears Pop! permainan mudah alih dengan kerjasama pengeluar figura Pop! dan kedua adalah Gears Tactcis iaitu permainan strategi berdasarkan penceritaan serta watak siri ini.

Dibangunkan oleh Splash Damage dengan kerjasama bersama The Coalition, Gears Tactics membawa perkara baharu untuk siri ini dan mungkin sesuatu yang lebih baik. Ia sudah dikeluarkan untuk PC dan sebahagian daripada Xbox Games Pass sejak 28 April 2020.

Cerita

Walaupun merupakan permainan terbaru untuk siri Gears, latar masa untuk Gears Tactics merupakan terawal jika ingin dibandingkan dengan permainan yang lain. Dengan lebih khusus, ia berlaku 12 tahun sebelum kejadian di dalam permainan pertama untuk siri ini.

Penceritaan memfokuskan kepada watak Gabriel Diaz yang satu watak tidak asing lagi bagi yang mengikuti siri ini. Ia berlaku setahun selepas Emergernce Day di mana, untuk membunuh Locust, kesemua bandar luar Jacinto Plateau di planet Sera telah dimusnahkan menggunakan Hammer of Dawn.

Tidak sepenuhnya menerima, Gabriel Diaz ditugaskan oleh Pengerus Richard Prescott untuk menyiasat mengenai Ukkon iaitu saintis untuk Locust. Tidak diberikan bantuan yang penuh, Gabriel Diaz terpaksa membina sendiri pasukan untuk membantu tugasan beliau.

Sama ada anda mengikuti ataupun tidak penceritaan Gears, saya boleh katakan yang agar mudah untuk mengikut penceritaan yang disertakan di dalam permainan ini. Oleh kerana mengikut garis masa, ia adalah antara terawal juga membantu untuk memastikan pemain baharu memahami apa yang berlaku.

Bagi yang mengikut, boleh dikatakan yang walaupun mempunyai bentuk permainan yang berlainan, tetapi ia masih mengekalkan kebanyakan cara penceritaan untuk siri ini, dan ia merupakan kekuatan utama permainan ini terutama untuk satu permainan strategi.

Tidak banyak permainan strategi yang menerima adegan penuh untuk penceritaan, kebanyakan sekadar teks dialog ataupun suara sahaja tetapi Gears Tactics memberi adegan bersama dengan lakonan watak yang baik, seperti permainan pengembaraan ataupun RPG.

Secara keseluruhan penceritaan yang disertakan mempunyai struktur yang jelas, membuatkan ia mudah diikuti tetapi pada masa sama ia juga menjadikan penceritaan mudah untuk dijangka. Sedikit mengecewakan jika pemain inginkan penceritaan yang rumit.

Namun, untuk satu permainan strategi ia sudah jauh melebihi permainan lain, dan bagi yang sudah mengikut penceritaan Gears sebelum ini, ia adalah satu penambahan yang baik.

Bentuk Permainan

Semasa Gears Tactics diumumkan, ramai yang mengatakan ia adalah permainan XCOM tetapi berdasarkan siri Gears. Selepas lebih 20 jam, saya boleh katakan yang jika anda pernah mencuba XCOM banyak elemen permainan yang sama, tetapi terdapat juga pelbagai kelainan yang membuatkan permainan ini berdiri di kaki sendiri.

Perkara biasa untuk permainan strategi, ia adalah mengikut turutan, pemain dan penjahat akan bergerak atau menyerang mengikut giliran. Pemain mempunyai 3 aksi ataupun lebih bergantung kepada peningkatan tahap ataupun kebolehan.

Setiap aksi tersebut, pemain boleh memilih untuk melakukan tanpa sebarang sekatan, contohnya jika pemain menembak menggunakan aksi pertama, pemain boleh bergerak dengan aksi kedua dan menembak sekali dengan aksi ketiga. Kelonggaran ini, memberikan pemain strategi yang lebih lancar, dan juga memberi peluang pemain untuk berpatah balik jika berlaku kesilapan.

Senjata adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, rifle, shotgun, dan sebagainya. Setiap senjata yang berbeza digunakan oleh kelas yang berlainan, jadi pemain perlu memilih kelas yang bersesuaian untuk strategi yang ingin dilakukan. Secara keseluruhan terdapat 5 kelas, dan setiapnya mempunyai pokok kebolehan yang pelbagai memberi peluang untuk mempunyai pelbagai jenis tentera.

Satu sistem yang menjadi perkara utama, bukan sahaja untuk pemain tetapi juga untuk penjahat adalah sistem Overwatch. Seperti XCOM, Overwatch di dalam Gears Tactics juga memberikan pemain untuk melakukan serangan kepada penjahat yang melalui satu kawasan semasa giliran mereka.

Menjadikan sistem Overwatch lebih menarik dan menghukum, ia akan berlaku bukan sahaja pemain ataupun penjahat melalui kawasan tersebut tetapi juga dengan melakukan serangan walaupun tidak bergerak dari tempat tersebut.

Ini menjadikan jika saya disasarkan oleh Overwatch, saya perlu menggunakan watak lain untuk melakukan Disabling Shot yang akan membatalkan Overwatch ataupun membunuh terus jika dapat. Overwatch akan digunakan secara kerap menjadikan saya sentiasa perlu memastikan watak tidak berada terlalu berhampiran dan sentiasa mempunyai watak lain untuk membantu.

Satu lagi perkara menarik mengenai Overwatch adalah jumlah serangan adalah bergantung kepada lebihan aksi. Contohnya, jika pemain melakukan Overwatch sebagai aksi pertama, pemain akan melakukan dua kali serangan Overwatch untuk aksi kedua dan aksi ketiga.

Namun, ada masa strategi terbaik adalah untuk membalas Overwatch, jika saya tidak mempunyai pergerakan saya sekadar melakukan Overwatch dan berharap penjahat bergerak ataupun melakukan apa-apa aksi. Ia sedikit membuang perasaan “strategi” di dalam permainan ini.

Untuk tahap kesukaran, ia menyertakan 4 tahap berbeza paling senang ke paling sukar iaitu Beginner, Intermediate, Experienced dan Insane. Setiapnya juga boleh memilih untuk menyertakan mod Ironman iaitu mod di mana setiap aksi adalah tetap, jika watak utama mati, perlu memulakan semula misi dari awal, jika watak lain mati, ia akan kekal mati.

Sepanjang sesi permainan, saya menggunakan tahap Intermediate, yang boleh dikatakan sederhana, dan saya boleh katakan ia masih lagi satu tahap yang mencabar, walaupun saya sudah menghabiskan lebih 100 jam bermain kedua-dua siri XCOM.

Menjadi kesukaran utama adalah kebanyakan misi, penjahat akan hadir dengan jumlah yang ramai dan dari setiap sudut yang berbeza. Menjadikan sedikit sukar untuk saya mencari tempat yang sesuai untuk bertahan. Namun, ia menjadikan sesi permainan yang lebih menarik kerana saya bukan sahaja perlu merancang tetapi juga perlu bertindak dengan cepat.

Jumlah yang penjahat yang ramai, boleh diatasi dengan Overwatch seperti yang saya terangkan sebelum ini dan juga sistem “Execution”. Selepas menyerang penjahat, ada daripada mereka yang walaupun sudah diserang, tidak mati secara terus tetapi ia berada dalam keadaan “downed”, pemain boleh melakukan Execution untuk penjahat tersebut dan membunuhnya dengan serangan jarak dekat. Setiap serangan Execution, akan memberi 1 aksi tambahan untuk semua rakan sepasukan. Ini akan memberi lebih banyak aksi, untuk memastikan dapat mengatasi jumlah yang ramai.

Sepanjang permainan, pemain akan melakukan misi utama dan misi sampingan, ada masa pemain harus melakukan beberapa misi sampingan sebelum dapat melakukan misi utama yang seterusnya. Ia mempunyai beberapa jenis misi yang berlainan, tetapi selepas lama bermain saya mula terasa ia berulang, termasuk juga perlawanan “bos”, kebanyakan terasa sama dan serangan juga terhad.

Selain itu, tidak banyak perkara lain yang boleh dilakukan di luar pertempuran, pengurusan tentera adalah ringkas, pemain boleh mendapatkan tentera melalui “Recruit” ataupun melalui misi. Selebihnya adalah mengurus peralatan dan senjata, di mana pemain akan mendapat kotak tikam selepas setiap misi, boleh dapatkan kotak tikam tambahan dengan menyelesaikan sasaran tertentu dan juga menjumpai semasa bertempur. Kotak tikam ini memberikan pelbagai aksesori dan perisai mengikut tahap tertentu.

Secara keseluruhan, bentuk permainan Gears Tactics adalah ringkas tetapi mencabar, ia tidak menyertakan pengurusan mendalam seperti XCOM, tetapi sudah cukup baik jika pemain yang inginkan bentuk permainan yang lebih memfokuskan kepada pertempuran berbanding pengurusan di luar pertempuran.

Grafik

Grafik dan arahan seni untuk Gears Tactics adalah lebih kurang dengan permainan-permainan Gears sebelum ini, rekaan watak serta rekaan penjahat sepatutnya menjadi kebiasaan. Bagi pemain baharu, saya merasakan kebanyakan pemain akan menyukai dengan apa yang disampaikan.

Rekaan persekitaran juga dilakukan dengan baik, walaupun sering berlaku di mana tekstur lambat untuk keluar, gambaran visual tidak menepati sistem, contohnya ada banyak tempat berlindung yang sepatutnya penuh secara visual, tetapi jika pemain menghampiri ia hanya memberikan perlindungan yang separuh sahaja.

Namun, secara keseluruhan, ia adalah permainan yang dioptimumkan dengan baik walaupun untuk PC yang mempunyai spesifikasi sederhana. Walaupun spesifikasi rendah, tidak akan mengorbankan kualiti yang terlalu besar untuk dimainkan dengan baik.

Setiap adegan dilakukan dengan baik, sebaik permainan aksi pengembaraan ataupun permainan RPG dan sudah semestinya antara terbaik untuk permainan strategi.

Audio

Rekaan bunyi dan kesan audio di dalam permainan ini dilakukan dengan sangat baik. Setiap tembakan, potongan, serangan mempunyai bunyi tersendiri yang memberi perasaan yang realistik, dan juga menggerunkan. Setiap serangan mempunyai bunyi yang sangat memberi impak, memberi perasaan puas apabila berjaya menyerang.

Lakonan suara juga dilakukan dengan baik untuk hadir bersama dengan rekaan adegan yang berkualiti. Ia membantu untuk memberi perwatakan kepada setiap watak, dan menjadikan setiap plot penceritaan disampaikan dengan lebih menarik.

Kesimpulan

Gears Tactics adalah satu permainan strategi yang baik dan layak untuk hadir sebagai permainan tersendiri berbanding sekadar digelar sebagai klon untuk XCOM. Ia menyertakan penceritaan yang lebih mempunyai fokus, berbeza dengan kebanyakan permainan strategi lain.

Bentuk permainan yang walaupun mempunyai pertempuran yang mencabar, tetapi ia terasa berulang dan mungkin membuatkan permainan merasakan sudah melihat segala yang ingin disampaikan oleh permain ini walaupun sekadar mencapai separuh daripada keseluruhan permainan.

Namun, ia masih lagi satu permainan yang akan memberi pemain yang meminati permainan strategi satu kepuasan untuk mengatasi setiap peringkat yang hadir. Bahkan, saya boleh katakan saya lebih memilih untuk mereka membangunkan Gears Tactics 2 berbanding Gears 6, jika diberi pilihan.

Leave a Reply