Kebanyakan Letupan Dalam Filem Tenet Adalah Praktikal

Sebentar tadi, telah kami laporkan video acah baharu Tenet yang mendedahkan – pergerakan mandir dalam filem ini bukannya rentas masa (time travel). Tetapi adalah satu perkara baru yang digelar Inversion. Tidak pasti adakah dadah, teknologi atau satu senjata – Inversion dikatakan dapat membantu menghentikan perang dunia ketiga.

Konsepnya seperti dalam video acah adalah, kelihatan satu kesan tembakan pada dinding misal kata. Itu adalah kesan yang sudah berlaku di masa hadapan, hakikatnya ia belum berlaku. Sebaik sahaja pistol ditembak, peluru tidak akan keluar – tetapi peluru ditangkap kembali masuk ke dalam pistol. Dalam video acah baharu ini juga anda akan lihat ada banyak letupan. Percaya atau tidak, kebanyakan letupan dalam filem ini adalah praktikal dan ia benar-benar berlaku. Ia bukannya CGI atau pun grafik ciptaan.

Menurut pelakon utama John David Washington, kapal terbang yang terhempas ke sebuah bangunan itu adalah kapal terbang sebenar dan bangunan itu juga adalah bangunan sebenar. Ia bukannya set yang dibina hanya untuk penggambaran filem. Beliau dan para pelakon lain bersorak apabila letupan itu berlaku.

Untuk aksi pergerakan pula, pelagak ngeri yang bertanggungjawab adalah George Cottle. Banyak pergerakan dalam filem ini adalah pergerakan yang tidak pernah mereka lakukan sepanjang kerjaya beliau. Jadi ada pergerakan yang digunakan dalam filem ini dicipta khas, lebih-lebih lagi kombat tangan-ke-tangan. Aksi yang dilakukan oleh Robert Pattinson juga dikatakan adalah dramatik dan hanya seronok ditonton dalam pawagam sahaja.

Filem Tenet jika tidak ditunda, akan ditayangkan pada 16 Julai 2020. Bagi yang ingin bongkar misteri dalam filem ini dan ingin tahu apakah itu Inversion – sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini