Skip to main content

Jika Christopher Nolan sebelum ini membawa kita kepada konsep “Inception” iaitu meletakan idea ke dalam minda separa sedar, melalui filem terbaru Tenet tampaknya beliau akan memperkenalkan satu lagi konsep baharu.

Seperti kita sedia maklum, seperti yang diperlihatkan melalui video acah pertama untuk filem ini, terdapat beberapa adegan yang bergerak secara terbalik, ataupun mandir.

Melalui video acah baharu untuknya, yang anda boleh tonton di bawah, watak di dalam filem ini tidak mengatakan yang perkara tersebut adalah rentas masa (Time Travel) sebaliknya ia adalah Inversion.

Antara contoh yang diperlihatkan di dalam video acah ini adalah watak utama iaitu lakonan John David Washington menggunakan pistol, tetapi dia bukan menembak sebaliknya mendapatkan semula peluru yang sudah ditembak.

Selain itu, terdapat juga adegan di mana beliau dan Robert Pattinson menyiasat satu bilik yang memperlihatkan kesan peluru, dan Washington mengatakan yang itu adalah kesan untuk perlawanan yang masih tidak berlaku.

Walaupun kita sudah mengetahui apa itu Inversion, namun ia masih tidak menerangkan apa yang akan berlaku, adakah ia satu kuasa ataupun keadaan dunia tersebut.

Tenet akan mula ditayangkan di pawagan pada 16 Julai 2020 jika ia tidak ditunda.

Leave a Reply