Respawn Entertainment minggu ini mengumumkan satu mod baharu iaitu misi semusim, di mana melalui misi tersebut pemain berpeluang untuk mendapat pelbagai ganjaran bersama dengan mengetahui mengenai penceritaan yang berlaku di dalam dunia Apex Legends.
Bagi misi semusim untuk musim ke-5, mereka mengumumkan The Broken Ghost di mana ia memfokuskan kepada penceritaan untuk watak yang baru sahaja diperkenalkan iaitu Loba.
Penceritaan tersebut akan dibahagikan kepada beberapa bab, dan satu bab akan dikeluarkan setiap minggu. Selain bab pertama yang terus diperoleh, bab-bab lain pemain perlu melakukan misi semusim The Broken Ghost untuk mendapatkannya.
Berikut adalah bagaimana misi semusim The Broken Ghost berjalan;
- Pemain perlu mencari Treasure Packs semasa bermain, setiap hari pemain dapat mendapatkan satu sahaja. Pek tersebut akan memberi pemain pelbagai barangan.
- Pemain perlu mengumpul 5 pek untuk membuka Hunt mingguan.
- Hunt mingguan adalah PvE di mana pemain perlu memasuki satu kawasan di Kings Canyon pada waktu malam, dan perlu mencari Artifact iaitu Weapon Charm dan juga bab seterusnya untuk penceritaan.
- Hunt baharu akan hadir setiap minggu, pemain perlu mendapatkan 9 Artifact untuk menyelesaikan misi ini, di mana pemain akan diberikan pelbagai ganjaran tambahan.
Ini adalah satu penambahan yang menarik untuk Apex Legends, ia juga akan memberi alasan kepada pemain untuk bermain permainan ini setiap hari.
Apex Legends sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.