EA hari ini mengumumkan yang mana permainan Command & Conquer Remastered Collection yang bakal tiba beberapa minggu lagi ini akan menyokong fungsi mod oleh pemain.

Ini sekaligus memberi kebebasan buat pemain untuk mengubah-suai permainan tersebut seperti menghasilkan unit baharu mahupun peta baharu berdasarkan permainan ini.

Selain itu, EA juga turut mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan kod sumber buat kedua-dua permainan tersebut di bawah lesen GPL 3.0 yang mana melaluinya ia akan memudahkan pemain menghasilkan pelbagai kandungan baharu buat permainan tersebut.

Menariknya, bagi platform Steam, ianya juga akan menyokong Steam Workshop, sekaligus pemain berupaya untuk berkongsi sebarang rekaan mod mereka di dalam permainan ini bersama pemain lain.

Dari segi status pembangunan, sokongan permainan secara setempat ataupun LAN tidak akan tiba pada hari pertama permainan tersebut dilancarkan. Menurut EA, pembangunan fungsi tersebut terbantut akibat wabak koronavirus dan mereka menyatakan fungsi tersebut akan berada di dalam senarai fungsi keutamaan mereka pada masa akan datang.

Command & Conquer Remastered Collection akan menyertakan dua permainan Command & Conquer yang dipernambah-baikkan iaitu Tiberian Dawn dan Red Alert. Untuk informasi lanjut berkenaannya, anda boleh ke laporan kami sebelum ini dan ia akan dilancarkan pada 6 Jun 2020 ini PC melalui Steam dan Origin.

Sohor Kini