Naughty Dog minggu ini berkongsi video seterusnya untuk siri video belakang tabir bagi The Last of Us Part II. Jika sebelum ini mereka berkongsi lanjut mengenai penceritaan, kali ini mereka memfokuskan kepada bentuk permainan.

Anda boleh tonton sendiri video tersebut di bawah.

Melaluinya, terdapat pelbagai perkara yang dikongsi kan dan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai bentuk permainan, persamaan serta kelainan daripada permainan pertama.

Berikut adalah 5 perkara menarik yang dikongsikan mengenai bentuk permainan bagi The Last of Us Part II;

Koperasi Masih Disertakan

Antara keunikan utama di dalam permainan pertama adalah bentuk koperasi yang disertakan, walaupun pemain mengawal Joel, tetapi Ellie yang bersama akan membantu dari semasa ke semasa. Di dalam The Last of Us Part II diperlihatkan beberapa segmen di mana, Ellie bersama dengan watak-watak lain mengembara, dan meneruskan sistem koperasi di dalam permainan ini.

Buat masa ini tidak disahkan lagi jika pemain akan lebih lama bermain secara solo ataupun bersama dengan watak lain.

Pergerakan Watak Yang Lebih Lincah

Neil Druckmann di dalam video tersebut mengatakan yang berbeza dengan Joel, watak Ellie lebih kecil dan di kebanyakan pertempuran, Ellie bukanlah watak yang paling kuat. Jadi untuk memberi peluang untuk berlawan, Ellie mempunyai pergerakan yang lebih lincah.

Antaranya, semasa bertempur Ellie boleh mengelak daripada serangan sebelum melakukan serangan balik. Manakala untuk mengekalkan elemen menyelinap, Ellie boleh meniarap untuk menyorok bukan sahaja di sebalik semak, tetapi juga di bawah bangunan ataupun kenderaan.

Namun, untuk mengimbangkan perkara tersebut, penjahat juga kini lebih bijak dan akan mencari Ellie di bawah-bawah tempat menyorok. Ellie juga boleh melakukan serangan semasa tengah meniarap, memberi pemain lebih cara untuk berlawan.

Selain itu, Ellie juga kini boleh melompat untuk satu jarak, dan memberi cara lain untuk mengembara, tidak perlu bergantung kepada tangga ataupun barangan tinggi.

Kawasan Yang Lebih Terbuka

Naughty Dog juga mengatakan yang kawasan di dalam The Last of Us Part II adalah lebih luas dan lebih terbuka. Bukan sahaja semasa pengembaraan tetapi juga pertempuran.

Semasa mengembara, mereka mengatakan terdapat pelbagai kawasan yang boleh dijumpai oleh pemain, tetapi tidak diperlukan untuk menggerakkan penceritaan. Oleh itu, mereka mengatakan yang akan terdapat pelbagai adegan disertakan di dalam permainan ini, tidak akan dijumpai oleh pemain untuk sesi permainan pertama.

Manakala semasa pertempuran pula, setiap kawasan akan direka untuk memberi pemain lebih cara untuk mengelak, menyelinap ataupun menyerang dari kawasan tertentu. Ia akan memberikan satu kawasan yang sebenar dan bukan satu kawasan rekaan khusus untuk pertempuran sahaja.

Sistem Crafting Dikembangkan

Satu lagi sistem yang kembali di dalam permainan kedua adalah crafting, namun kini ia dikembangkan lagi dan pemain boleh menghasilkan pelbagai barangan untuk digunakan bersama senjata seperti silencer menggunakan botol. Pemain juga boleh menghasilkan peluru-peluru yang berbeza.

Tambah mereka, hadirnya sistem ini akan memberikan pemain cara yang pelbagai untuk menggabungkan beberapa peralatan dan juga memberi lebih alasan untuk mengembara, mencari barangan-barangan yang boleh digunakan semasa crafting.

Peningkatan Tahap Yang Lebih Bermakna

Manakala untuk peningkatan tahap, pemain boleh melakukan untuk pelbagai bahagian seperti “Stealth” dan “Precision”, peningkatan tahap ini adalah lebih bermakna di mana ia akan menentukan cara terbaik yang boleh dilakukan oleh pemain, untuk mengatasi sesuatu kawasan.

Naughty Dog juga mengatakan yang pemain tidak boleh meningkatkan tahap secara penuh semasa sesi permainan pertama, dan perlu memilih peningkatan yang bersesuaian dengan cara bermain. Diperlihatkan, pemain perlu mencari collectible untuk membolehkan peningkatan tahap ataupun mendapatkan penambahan.


Berdasarkan apa yang diperlihatkan, kami boleh katakan yang The Last of Us Part II menyertakan bentuk permainan yang sudah menjadi kebiasaan kepada pemain yang bermain permainan pertama. Namun, pada masa yang sama, ia juga memberi pelbagai penambahan untuk menjadikan ia lebih terbuka dan memberi pemain lebih cara untuk menyelesaikan permainan ini.

The Last of Us Part II akan dikeluarkan pada 19 Jun 2020 secara eksklusif untuk PlayStation 4.

Sohor Kini