Anugerah Oscars 2021 Mungkin Akan Ditunda

Oscars adalah anugerah yang penting dalam industri perfileman dan juga merupakan satu anugerah yang besar di Amerika Syarikat dan peringkat global. Oscars 2020 telah memilih filem Parasite untuk memenangi 4 anugerah termasuk filem terbaik dan filem Joaquin Phoenix dipilih sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Joker.

Oscars seterusnya akan berlangsung pada 28 Februari 2021. Tetapi dengan penularan wabak Covid-19 ini, tarikh berlangsungnya anugerah ini mungkin akan ditunda. Walau bagaimanapun, menurut sumber The Academy of Motion Picture Arts and Sciences masih tidak membuat keputusan untuk tarikh baharu atau mempunyai sebarang pengesahan sama ada ia akan diteruskan mengikut jadual atau akan ditunda.

Bukan itu sahaja, peraturan untuk sesebuah filem untuk tercalon dalam Oscars juga telah diubah. Disebabkan pandemik Covid-19, banyak tayangan filem terpaksa ditunda dan dilancarkan secara digital untuk disewa atau dibeli. Oleh yang demikian, mana-mana filem yang studio telah merancang untuk tayangkan di pawagam dan dilancarkan secara digital layak untuk dicalonkan. Berbanding sebelum ini, sesebuah filem perlu ditayangkan di pawagam selama 7 hari untuk layak dicalon.

Apa-apa pun, masih tiada sebarang pengesahan lagi jika anugerah ini akan ditunda dan adakah filem yang ditayangkan pada akhir tahun turut layak dicalonkan dalam anugerah 2021 ini. Kemudian, bagaimana cara untuk sambut filem-filem melalui anugerah ini juga masih tidak diketahui. Sama-sama kita nantikan berita lanjut.

Sohor Kini